DAFI bersama adik-beradiknya. FOTO Instagram
DAFI bersama adik-beradiknya. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


RAYA tetap raya. Cuma, kelainannya sambutan kali ini dalam normal baharu yang perlu dibiasakan dalam kehidupan.

Tidak dijangkakan kita semua akan meraikan Aidilfitri sebegini hanya di kediaman masing-masing sahaja dan tiada tetamu datang ke rumah.

Bagi pelakon dan penyanyi, Dafi Ismail Sabri, 32, Aidilfitri tetap dirainya dengan ceria.

Kata pelakon drama Dia Semanis Honey dan Klik! Pengantin Musim Salju itu, dia hanya bersederhana.

"Saya tahu kebanyakan warga kota anak perantau dan semestinya ambil peluang balik ke kampung setiap kali Aidilfitri. Namun, kali ini satu kelainan berlaku.

"Suasana pulang ke kampung secara tradisi tinggal kenangan. Namun, janganlah sesekali berasa Aidilfitri kali ini suram dan sangat menyedihkan," katanya yang juga anak kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Dafi, situasi pandemik Covid-19 kini menjadi agenda utama untuk diselesaikan kerana ia 'musuh perang' yang tak nampak dan sangat bahaya .

Pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini berkata, dia bersyukur masih berpeluang meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

Katanya, dia bernasib baik kerana memang tinggal bersama ibu bapa sejak dahulu. Pun begitu, suasana beraya di kampung tetap dirindui.

Mengulas kerjayanya, Dafi berkata, dia kini giat membuat perancangan semula kerana apa yang sudah dirancang sebelum ini perlu diubah.

"Sebenarnya saya bercadang mahu aktif menyanyi semula dan tampil dengan lagu baharu, tapi apakan daya, saya hanya mampu merancang.

"Kini, apa yang boleh dibuat, saya harus tukar strategi baru. Apapun, saya memang rindu untuk aktif semula dalam nyanyian selepas sejak beberapa tahun lalu sibuk dengan aktiviti lakonan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:40 PM