Zul Huzaimy
Zul Huzaimy
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah Zul Huzaimy menempelak kenyataan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi yang melabelkan drama Nur sebagai 'syok sendiri' apabila hanya ditayangkan satu episod di stesen TV Indonesia, MNCTV sebelum dihentikan tayangannya, baru-baru ini.

Zul berkata, sebagai ketua kepada persatuan yang memperjuangkan nasib anak seni dia sepatutnya memainkan peranan penting dan bukannya kucar-kacirkan keadaan. 

"Kenapa dia perlu cakap begitu. Bukankah dia juga anak tempatan dan seorang pembikin? Apa hasil yang begitu membanggakan dia pernah buat hingga sanggup cakap begitu. 

"Maaf cakap, saya menyokong penuh kenyataan Azhan Rani yang mengatakan dia tak layak untuk bersuara. Dia tak patut pertikai kerana sebagai presiden untuk sebuah persatuan dia perlu memainkan peranan penting untuk mengangkat karya tempatan. 

"Sebaliknya bukan hanya menanti bila tiba isu-isu panas dan keluarkan kenyataan sebegitu. Budaya ini tak bagus sebab akan kucar-kacirkan lagi keadaan," katanya. 

Menurut Zul, tiada istilah drama tidak berkualiti sebaliknya jika ada dana yang besar pasti karya yang dihasilkan mampu dijayakan dengan lebih baik. 

"Daripada dulu lagi, kita sentiasa menambah baik karya tempatan. Cuma, untuk menghasilkan karya yang betu-betul berkualiti perlukan dana yang besar. 

"Kalau ada duit lebih dapatlah buat dengan lebih baik. Rasanya perkara seperti ini boleh faham sendiri, lebih-lebih lagi untuk orang yang bertanggungjawab dan diamanahkan dalam sesebuah persatuan yang mewakili anak-anak seni terutama pelakon. 

"Saya agak kesal dengan kenyataan seperti itu. Sepatutnya dia antara orang yang mengeluarkan idea dalam memberi ruang dan peluang. Sebagai ketua cari peluang untuk diberi kepada penggiat seni," katanya. 

Sebelum ini, penerbit dan pengarah Shahrulezad membidas kenyataan Zed dengan mengatakan karya yang dihasilkan bukan semata-mata untuk kepuasan diri sebaliknya, atas permintaan peminat drama Melayu. 

Difahamkan, drama Nur ditayangkan kembali di Indonesia berikutan desakan peminat drama itu di sana yang marah apabila tayangannya dihentikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 2:49 PM