Norhayati Nordin


PASANGAN penyanyi remaja Azzam Sham, 23, dan Sheryl Shazwanie, 23, mengambil pendekatan tidak berahsia mengenai hubungan rapat mereka.

Kedua-duanya mengakui mereka sudah kenal lama tetapi semakin rapat sejak beberapa bulan lalu.

Azzam atau Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkata mereka kini masih dalam proses mengenal hati budi.

“Walaupun di antara kami sudah kenal lama tetapi Sheryl ini orangnya susah didekati.

“Dia sangat pemalu. Namun, saya tertarik dengannya kerana suka dengan cara dia bercakap dan perwatakan manisnya.

“Apatah lagi, hubungan ini makin rapat selepas pihak syarikat rakaman menggandingkan kami untuk rakam lagu duet bersama.

“Semakin hari, saya dapati sangat serasi dengan Sheryl dan kami saling menghormati,” katanya kepada Harian Metro.

Azzam yang pernah popular dengan lagu Biar Saja, manakala Syeryl menerusi lagu Perasaan memberitahu mereka juga sentiasa menyokong kerjaya seni masing-masing.

Bagi Sheryl atau nama sebenar Sheryl Shazwanie Shamsulbahri pula, Azzam adalah lelaki pertama yang pernah rapat dengannya.

“Ketika zaman sekolah dahulu pun, saya tidak pernah rapat dengan lelaki termasuk melalui pengalaman terjebak cinta monyet.

“Jadi, saya tidak fikir hubungan dengan Azzam sekadar suka-suka kerana kami memang serius.

“Malah, saya juga seorang yang suka berterus-terang. Jika saya rapat dengan seseorang lelaki, saya selesa mengaku,” katanya.

Ditanya mengenai ciri-ciri disenangi pada Azzam, Sheryl berkata lelaki itu seorang yang baik.

“Setakat ini, bila rakan-rakan bercakap mengenai Azzam semuanya mengatakan dia sangat baik.

“Terus-terang, saya sukakan lelaki yang baik,” katanya memberitahu dia dan Azzam juga sudah mengenali keluarga masing masing.

Mengulas mengenai lagu duet dirakamkan mereka, kedua-duanya berkata produk itu sudah siap dan tunggu masa untuk dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 8:40 PM