SHERYL tak kisah kena kecam selepas beri ucapan berbunyi sayang pada Azzam.
SHERYL tak kisah kena kecam selepas beri ucapan berbunyi sayang pada Azzam.
Norhayati Nordin


TIADA apa yang mampu diungkap mengenai keikhlasan dan ketulusan hati penyanyi Sheryl Shazwanie dalam berkongsi kebahagiaan yang dikecapinya ketika ini.

Mengambil langkah tidak berselindung mengenai hubungan rapatnya dengan penyanyi yang juga juara Big Stage 2020, Azzam Sham, nyata Sheryl sangat tabah.

Meskipun ada warganet yang mengecam serta melabelnya umpama 'perigi mencari timba', penyanyi lagu Perasaan yang berusia 23 tahun ini tenang membiarkan.

Bahkan, dengan berani Sheryl juga secara terang-terangan menulis perkataan sayang dan dituju khas buat Azzam sebaik jejaka kesayangannya itu menjuarai Big Statge 2020 lalu.

"Tahniah sayang @AzzamShanm. You truly deserve it & I've always been proud of you (Awak sememangnya layak menang dan saya selalu bangga dengan awak," tulisnya.

Ternyata, perkongsian ciapan di Twitter yang datang daripada lubuk hati Sheryl itu mendapat perhatian ramai, terutama pada kalangan peminat Azzam yang rata-rata menerima positif.

SHERYL dan Azzam berteman rapat.
SHERYL dan Azzam berteman rapat.

Mengulas sikap terbukanya berkongsi perihal kedekatan hubungan mereka, Sheryl berkata memang dia selesa berterus-terang dan buat masa ini, Azzam adalah lelaki yang rapat dengannya.

"Kami saling menyokong dalam kerjaya seni yang diceburi ini. Malah, kami juga selalu ada ketika masing-masing berhadapan masalah dan mengalami kesusahan.

"Ketika Azzam bersaing di pentas Big Satge 2020, saya setiap minggu akan meluangkan masa ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan persembahannya.

"Kehadiran saya di situ, sekadar memberi semangat kepadanya untuk cekal berjuang dalam pertandingan. Niat sama sama seperti peminat-peminat Azzam yang lain.

"Saya mahu Azzam menang. Namun, saya kagum dengan peminatnya yang ramai kerana hingga kini masih memberi sokongan sejak Idola Kecil musim kedua dulu. Saya turut berterima kasih," katanya.

Mengakui masih belum ada perancangan ke fasa pertunangan atau perkahwinan, Sheryl berkata mereka masih muda dan kerjaya seni pun belum stabil serta perlukan masa untuk kukuh.

"Setakat ini, kami hanya menjalin hubungan rapat. Soal jodoh, biar Allah tentukan kerana kalau sudah ditakdirkan pasti takkan ke mana dan akan jadi kenyataan juga.

"Kami tidak mahu terburu-buru kerana beranggapan perjalanan masih jauh. Cukuplah, saya dan Azzam saling menyokong kerjaya masing-masing dan mendoakan kejayaan.

"Keluarga pun tahu kami rapat dan menerimanya. Cuma, paling utama yang kami kena ingat selalu ialah sentiasa menjaga maruah dan nama baik ibu bapa," katanya.

Menafikan cuba menumpang populariti Azzam, wanita ramah dan suka tersenyum ini berkata tidak ada sebab untuk dia melakukannya. Ujarnya, dia dan Azzam sudah kenal lama.

LAGU Perasaan pernah lonjak nama Sheryl.
LAGU Perasaan pernah lonjak nama Sheryl.

Lagu duet tiada sambutan

Bergabung dengan Azzam merakamkan lagu duet berjudul Jika Ini Takdirnya yang dilancarkan pada April lalu, Sheryl berkata dia melihat rezeki lagu itu mungkin lambat.

Katanya, kelemahan bukan pada lagu tetapi penularan pandemik Covid-19 secara tidak langsung membuatkan urusan promosi dan publisiti dirancang tergendala.

"Saya yakin lagu Jika Ini Takdirnya ada potensi untuk menjadi pilihan pendengar jika kami dapat melakukan promosi yang pelbagai. Namun, keselamatan lebih utama.

"Ketika pelancaran lagu itu pun, seluruh negara masih dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 dan saya pun menghabiskan masa di rumah.

"Bagaimanapun, saya dan Azzam tetap berusaha mempromosikan lagu duet kami di media sosial masing-masing dan platform digital seperti YouTube. Alhamdulilah, mendapat sambutan," katanya.

Menurut Sheryl, apapun dia tidak akan berhenti untuk berusaha mempromosikan lagu Jika Ini Takdirnya kerana karya itu sangat istimewa dan liriknya begitu puitis.

Katanya lagi, dia dan juga Azzam sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencipta keserasian mereka. Apatah lagi, kisah lagu Jika Ini Takdirnya itu berkait rapat dengan cinta.

Sehubungan itu, muzik video lagu Jika Ini Takdirnya yang sudah dimuat naik di YouTube sejak lima bulan lalu hingga kini mencatat lebih 591,000 tontonan pelayar maya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 6:00 AM