AZZAM Shah dan Sheryl Shawanie sudah bertunang.
AZZAM Shah dan Sheryl Shawanie sudah bertunang.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi, Azzam Sham, 24, melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya, Sheryl Shazwanie, malam semalam.

Azzam berkata, perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya itu dibuat hasil perbincangan kedua-belah keluarga, minggu lalu.

"Sebenarnya kami merancang untuk bertunang pada Mei lalu, tetapi disebabkan penularan Covid-19, kami tangguhkan dulu hasrat itu.

"Keluarga kami berbincang sejak minggu lalu untuk mengadakan majlis pada malam tadi dan hanya dihadiri lapan ahli keluarga. Walaupun perancangan pada saat akhir, syukur ada pihak yang ingin memberi tajaan. Tiada sebarang tema kerana perbincangan dilakukan pada saat akhir. Insya-Allah, jika semuanya dipermudahkan kami bakal berkahwin awal tahun depan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, hubungan percintaan pasangan selebriti muda ini mula jadi perhatian tahun lalu selepas kedua-duanya secara terbuka mengakui mereka sedang menjalin hubungan rapat.

Malah, mereka juga sudah membiasakan dengan panggilan 'sayang' di antara satu sama lain.

Ketika Azzam menyertai program Big Stage musim ketiga dan bergelar juara tahun lalu, setiap minggu Sheryl akan hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk memberi sokongan.

Azzam yang dikenali menerusi lagu Biar Saja dan Cinta Jangan Pergi berkata, keperibadian Sheryl membuatkan dia tertarik untuk menjadikannya sebagai isteri.

"Saya menyukai sikap dan sifatnya yang baik hati. Dia bijak mengambil hati keluarga dan membuatkan semua selesa dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 4:09 PM