Norhayati Nordin

WALAUPUN hubungan percintaan dijalin mereka bukan rahsia, namun pasangan penyanyi Azzam Sham, 23, dan Sheryl Shazwanie, 23, tetap menjaga batas pergaulan masing-masing.

Apatah lagi, mereka sedar ikatan sebagai kekasih bukan tiket untuk sering bertemu meskipun di atas urusan kerja.

Bagi mereka, kepercayaan diberi keluarga tidak harus dimusnahkan.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammudin Lop Hashim yang dikenali dengan lagu Biar Saja sebelum ini, berkata, dia juga sangat menghormati keperibadian Sheryl.

"Sheryl sebenarnya wanita yang susah didekati kerana dia pemalu. Saya pun tak sangka kami boleh rapat dan akhirnya bercinta.

"Apapun, saya akui tertarik dengan Syeryl apabila melihat cara dia bercakap atau berbual dengan orang. Tutur katanya begitu lembut dan suka tersenyum.

"Perwatakan manis yang dimiliki Sheryl membuatkan saya sangat menyenanginya. Alhamdulillah, kami juga saling memahami antara satu sama lain, katanya.

Azzam yang pendiam dan tidak banyak cakap mengakui perkenalan dia dengan Sheryl sudah lama sejak mereka di bawah label Studio 57 dan kemudian menyertai MVM Production.

Mengulas kedekatan hubungan dijalin, Azzam berkata, dia berasa adanya keserasian dengan Sheryl selepas mereka sering terbabit dalam program dan aktiviti bersama sebelum pandemik Covid-19 di negara ini.

"Pada tahun lalu, acara hiburan banyak diadakan sama ada untuk disiar TV dan radio atau majlis makan malam korporat. Justeru, saya dan Sheryl ada mendapat tawaran persembahan.

"Kami pun ada lagu solo masing-masing. Jadi, pertemuan di acara persembahan yang sama akhirnya membuatkan hubungan semakin rapat, katanya.

Menurut Azzam, setakat ini sama ada keluarganya mahu pun pihak Sheryl sudah mengetahui perhubungan dijalin dan sudah mendapat restu.

Sementara itu, Sheryl berkata, dia menyukai Azzam sudah lama, tetapi secara diam-diam.

Apatah lagi, mereka tidak rapat dan sekadar meminati dari jauh berikutan sikap pendiam Azzam.

"Tak tahu kenapa boleh minat dengan dia. Mungkin dia sangat sopan dan apabila bercakap, Azzam tak pernah meninggi suara. Sepanjang berbual dengannya, dia sangat menyenangkan dan saya selesa.

"Dia juga sangat menghormati orang tua, mudah dibawa berbincang dan suka bertukar pendapat. Azzam boleh terima setiap pandangan dikongsi dengan baik, katanya.

Berbicara mengenai penerimaan keluarga, Sheryl berkata, ibu bapanya tidak menghalang, cuma dia perlu sentiasa menjaga batas pergaulan diri, maruah serta nama baik keluarga.

Sheryl atau nama sebenarnya Sheryl Shazwanie Shamsulbahri sebelum ini popular dengan lagu solo berjudul Perasaan.

Selain itu, Sheryl juga pernah menyertai pertandingan Big Stage musim kedua.

Pada 2015, Sheryl pernah tular ketika dia menyanyikan semula lagu Kun Anta nyanyian asal Humood Alkhudher.

Sementara itu, muzik video lagu Perasaan nyanyiannya sudah mencatat 15 juta tontonan di YouTube.

Lagu duet Jika Ini Takdirnya

Peluang menyanyi bersama untuk lagu duet baru tidak pernah difikir menjadi kenyataan oleh Azzam dan Sheryl.

Namun, apabila mendapat peluang mereka tidak menolak.

Merakamkan lagu Jika Ini Takdirnya pada tahun lalu, Azzam berkata, dia berusaha sebaik mungkin menjiwai lagu itu.

"Lagu itu sangat istimewa kerana ia lagu duet pertama bersama Sheryl. Jadi, kami perlu rakamkannya dengan baik, katanya.

Bagi Sheryl pula, kesukaran dan cabaran untuk menjiwai sesuatu lagu itu tidak dapat dielak.

Cuma, katanya dia gembira banyak mendapat bantuan Azzam.

"Alhamdulillah, proses rakaman lagu Jika Ini Takdirnya dapat dilakukan dengan berkesan. Saya harap lagu ini mendapat sambutan baik pendengar, katanya.

Muzik video lagu Jika Ini Takdirnya sudah dilancarkan di YouTube pada 22 April lalu dan hingga kini mencatat 226,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 6:00 AM