Azzam dan Sheryl bersama anak mereka, Azzalea Safiyya kini berusia dua bulan. Foto Instagram Azzam Sham.
Azzam dan Sheryl bersama anak mereka, Azzalea Safiyya kini berusia dua bulan. Foto Instagram Azzam Sham.
Norhayati Nordin


Banting: Penyanyi dan pelakon Azzam Sham, 26, pernah dinasihatkan oleh peminatnya agar tidak berkongsi foto anak, Azzalea Safiyya kini berusia dua bulan terlalu awal di media sosial untuk mengelakkan mengalami penyakit 'ain'.

Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzamuddin Lop Hisham berkata, dia dan isteri juga penyanyi, Sheryl Shazwanie bagaimanapun tetap membuat perkongsian foto anak mereka lebih awal bukan untuk menagih pujian serta perhatian ramai.

"Saya dan Sheryl berkongsi foto wajah anak kami kerana memikirkan tiada apa yang perlu disorok walaupun ramai peminat menasihati dan pada masa sama, tahu kebanyakan selebriti memilih tidak berkongsi wajah bayi atau anak kecil mereka untuk elakkan penyakit 'ain' ini.

"Saya juga tahu mengenai penyakit 'ain' yang diperkatakan ramai orang kerana mudah terkena kepada bayi. Tapi apabila difikir-fikirkan, sampai bila saya kena sorok dan tak nak tunjuk wajah anak. Dia (anak) pun manusia biasa dan Alhamdulillah juga, Azzalea Safiyya pun baik-baik saja.

"Kami sebenarnya nak anak membesar dan dilayan sebagaimana anak keluarga biasa walaupun ibu bapanya adalah artis dan terbabit dalam karier seni. Malah, dalam soal ini saya cuma ambil positif saja," katanya kepada Harian Metro.

Azzam bernikah dengan Sheryl pada 1 Januari tahun lalu di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, menimang cahaya mata sulung mereka, Azzalea Safiyya pada 27 November tahun lalu.

Terdahulu, Azzam ditemui ketika hadir menghiburkan warga Harian Metro pada acara Hooray Hooray Santai Keluarga di Beach Pool Club Gamuda Cove di sini, semalam.

Muncul menyanyikan dua lagu iaitu Bila Cinta Didusta dan Cinta Jangan Pergi, Azzam berkata dia yang mula menceburi industri hiburan selepas menyertai Idola Kecil di TV9 berkata, perjalanan dilaluinya agak panjang untuk sampai ke tahap sekarang.

"Alhamdulillah, dapat bertahannya saya dalam industri dan terus berusaha memahat nama di persada karier seni di atas sokongan media juga. Saya hanya mampu berterima kasih dengan pelbagai bantuan publisiti dihulurkan.

"Walaupun kini tumpuan orang ramai termasuk artis agak terarah dengan pengaruh media sosial, namun hubungan baik dan kerjasama dengan media masih lagi perlu berterusan," katanya.

Selain Azzam, artis lain yang turut serta membuat persembahan ialah Lia Aziz dan Lan A To Z yang turut menyanyikan tiga lagu popular kumpulan itu termasuk Itik Gembo Gembo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 4:23 PM