JENAZAH kesuma booty dikebumi di Tanah Perkuburan Klang Gate, hari ini.
JENAZAH kesuma booty dikebumi di Tanah Perkuburan Klang Gate, hari ini.
Ridzuan Abdul Rahman


"AYAH sudah 16 tahun menderita sakit. Lima tahun kebelakangan ini dia hanya terlantar dan tak mampu bergerak. Kami reda dengan pemergiannya dan mendoakan yang terbaik buatnya," kata Alfa, anak sulung penggiat muzik tanah air dan komposer, Kesuma Booty, 69, yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Kesuma yang juga anak ketiga legenda filem Melayu era Studio Jalan Ampas iaitu Allahyarham Kasma Booty meninggal dunia akibat masalah paru-paru jam 12. 30 malam tadi.

Kesuma menghidap darah tinggi sejak 16 tahun lalu dan terlantar serta sukar bergerak akibat uzur sejak lima tahun lalu.

Alfa ketika dihubungi berkata, tiada sebarang tanda pelik ditunjukkan bapanya kerana mereka kerap berkomunikasi seperti biasa.

"Ayah seorang yang baik dengan anak-anak. Walaupun sakit, dia suka bergurau. Dia juga sering memberi motivasi buat anak-anak supaya berjaya dalam hidup. Kami semua bersyukur kerana dia memberikan apa yang sepatutnya buat kami," katanya kepada Harian Metro.

Alfa berkata, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada bapa terhadap ilmu dan kasih sayang yang diberikannya.

Ketika hayatnya, Allahyarham adalah antara karyawan yang menjadi tulang belakang utama pada penubuhan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) pada 1989.

Allahyarham juga antara pengasas Booty Boys Studio bersama-sama dengan adik-adiknya yang juga pemuzik seperti Surya Booty dan Purnama Booty.

Booty Boys Studio antara studio rakaman popular dalam industri muzik tanah air yang menjadi tempat rakaman album penyanyi popular tanah air antaranya Search, Wings, Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Lefthanded, Bloodshed dan ramai lagi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga anak iaitu Alfa, Rumie dan Zuraidi.

Alfa dan Rumie turut mewarisi bakat Kesuma dan pernah menubuhkan kumpulan Alfa pada 1990 serta memiliki tiga album.

Kesuma juga dikenali sebagai seorang yang pendiam tetapi tidak sombong dan menghormati orang yang lebih tua.

Jenazah Kesuma selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang jam 10 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:05 PM