ALFA Booty. Gambar kanan, berita sedih dikongsi, Alfa Booty dalam status Facebook. FOTO Facebook Alfa Kesuma
ALFA Booty. Gambar kanan, berita sedih dikongsi, Alfa Booty dalam status Facebook. FOTO Facebook Alfa Kesuma
Ridzuan Abdul Rahman

PENGGIAT muzik tanah air, Kesuma Booty meninggal dunia pada usia 69 tahun, hari ini.

Berita sedih itu dikongsi anaknya, Alfa Booty dalam status Facebook.

Allahyarham Kesuma adalah anak kepada legenda filem Melayu di era Studio Jalan Ampas iaitu Allahyarham Kasma Booty.

Ketika hayatnya, Allahyarham adalah antara karyawan yang menjadi tulang belakang utama pada penubuhan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) pada 1989.

Allahyarham juga antara pengasas Booty Boys Studio bersama-sama dengan adik-adiknya yang juga pemuzik seperti Surya Booty dan Purnama Booty.

Booty Boys Studio antara studio rakaman popular dalam industri muzik tanah air yang menjadi tempat rakaman album penyanyi popular tanah air antaranya Search, Wings, Datuk Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Lefthanded, Bloodshed dan ramai lagi.

Selain Alfa, seorang lagi anaknya iaitu Rumie turut mewarisi bakatnya dan pernah menubuhkan kumpulan Alfa pada 1990.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Klang Gate, Hulu Klang, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 2:31 PM