BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah dijenamakan semula dan akan menggunakan akronim 'Kesuma', bagi sebarang urusan rasmi berkaitan kementerian itu bermula Isnin (4 Mac).

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat, mengambil maklum dan bersetuju tentang penjenamaan semula KSM dengan singkatan Kesuma.

"Dalam dua bulan ini, selaras dengan misi strategik 3K, Kesuma sudah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja dan meluaskan liputan skim keselamatan sosial.

"Ia termasuk meningkatkan kualiti latihan kemahiran serta melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan tatakelola di kesemua jabatan dan agensi kementerian," menurut kenyataan kementerian itu, hari ini.

Kesuma dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia (KE.SU.MA), yang juga perkataan lama dalam Bahasa Melayu yang bererti 'bunga'.

"Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, yakni memperkasakan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan pekerja," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 3:38 PM