OMMA (kanan) bergabung tenaga mengadakan persembahan dengan rakan pemuzik bantu ringankan beban Yazit (kiri). FOTO Arkib NSTP
OMMA (kanan) bergabung tenaga mengadakan persembahan dengan rakan pemuzik bantu ringankan beban Yazit (kiri). FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


DUA pemain gitar handalan, Man Kidal dan Omma Akira (Laksamana) bergabung tenaga menganjurkan persembahan istimewa, Nostalgia Search bersama Yazit Ahmad dan Man Kidal yang akan berlangsung di i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh malam esok.

Omma berkata, matlamat penganjuran persembahan itu adalah untuk membantu meringankan beban kewangan Yazit yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit.

“Kumpulan kami dinamakan i-Cafe sebenarnya diwujudkan untuk menghiburkan pengunjung yang datang makan di sini.

“Selain saya, anggota lain ialah Joe Bloodshed (bass), Shariman (dram) dan Azmi (penyanyi latar). Manakala pada masa tertentu, ia akan turut disertai oleh Man Kidal, pelakon Sofi Jikan, Lan Pet Pet dan Kidat yang juga pemilik kafe ini.

“Persembahan kami yang berlangsung setiap Jumaat ternyata mendapat sambutan baik daripada peminat dan dari situ tercetus idea untuk mengadakan persembahan khas bagi membantu Yazit,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tidak ramai peminat yang tahu Man Kidal dan Yazit bersama Amy, Yan serta Nordin adalah anggota awal Search yang tampil menerusi album pertama pada awal 1980-an.

“Search sebuah kumpulan rock legenda dan sejarah mereka terlalu panjang untuk diceritakan.

“Mereka dikenali antara pelopor muzik rock dalam bidang muzik arus perdana Malaysia.

“Jadi, persembahan ini akan menyorot kembali sejarah permulaan revolusi rock di negara kita yang dipelopori oleh Search dengan album bertajuk Cinta Buatan Malaysia,” katanya.

Katanya, persembahan mereka akan mengimbau nostalgia lagu Search yang diminati ramai peminat muzik rock.

“Peminat yang datang pasti terhibur dengan apa akan ditampilkan nanti. Yazit juga akan turut beraksi sekiranya kesihatannya mengizinkan.

“Konsep penjualan tiket ialah RM30 seorang di mana satu meja berharga RM300 akan memuatkan 10 pengunjung dan sebahagian kutipan disumbangkan kepada Yazit.

“Dengan harga yang dikeluarkan, pengunjung boleh menikmati pelbagai menu hidangan disediakan secara bufet,” katanya.

Mereka yang berminat menyaksikan persembahan itu boleh melayari Facebook Omma Akira untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 3:58 PM