ISMISHAM
ISMISHAM
Norhayati Nordin


JIKA dilihat pada gaya penampilan bakat baharu, Ismisham Othman, ada persamaan dengan penyanyi Haqiem Rusli yang juga sahabatnya.

Ismisham, 27, berkata, pembabitannya dalam bidang nyanyian juga banyak didorong Haqiem.

“Haqiem tahu saya minat menyanyi dan lebih ke arah muzik pop rock. Jadi, dia beri saya galakan untuk mencuba.

“Alhamdulillah, dapat pula peluang daripada syarikat Broadway Entertainment yang berminat mengetengahkan bakat nyanyian saya. Semuanya saya anggap rezeki dan akan berusaha bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mensia-siakan peluang dimiliki,” katanya.

Ismisham yang berasal dari Negeri Sembilan kini muncul dengan lagu solo pertamanya berjudul Hanya Kamu (Only You).

Memilih karya ciptaan Megat dan Mijie dari kumpulan Flop Poppy, lagu itu diakui kena dengan jiwanya.

Mengulas mengenai lagu itu, Ismisham berkata, dia sangat tertarik dengan melodi dan liriknya yang mantap.

“Dengan pengalaman Flop Poppy dalam bidang nyanyian, saya yakin dengan lagu dihasilkan itu. Sebaik diperdengarkan melodi lagu Hanya Kamu, saya terus berminat merakamkannya sebagai taruhan pertama. Lagu ini sangat sesuai dijadikan pengenalan diri saya dalam kerjaya nyanyian sebagai bakat baharu,” katanya.

Menyedari kehadiran ramai penyanyi baharu kini, Ismisham berkata, dia yakin dengan bakat dan rezeki Allah buatnya.

“Sedikit sebanyak saya menjadikan kejayaan Haqiem sebagai pembakar semangat. Dulu, Haqiem pun melalui pengalaman suka dan duka. Bagaimanapun, semuanya perlukan usaha dan jangan mudah putus asa. Saya harap Hanya Kamu diterima baik pendengar,” katanya.

Berkongsi juga perkenalannya dengan Haqiem, pemuda ini berkata, dia bertindak sebagai penata gaya rambut Haqiem sejak beberapa tahun lalu.

Namun, Ismisham berharap tidak wujud perbandingannya dengan Haqiem kerana genre muzik mereka berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 5:10 AM