WANI Kayrie
WANI Kayrie
Norhayati Nordin

Walaupun sudah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia bukan tiket buat penyanyi remaja, Wani Kayrie, 17, berasa selesa.

Ini kerana pantasnya masa berlalu membuatkan debaran di hati gadis manis itu semakin kuat untuk menunggu keputusan peperiksaan itu.

Menurut pemilik nama sebenar Syazwani Abdullah ini, dia sangat mengharapkan keputusan SPM terbaik berjaya diperoleh.

“Saya tahu sudah melakukan sehabis baik sepanjang menduduki SPM hujung tahun lalu demi masa depan. Saya ada cita-cita dan impian untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik debaran hatinya Wani tetap menjalani rutin hariannya dengan pelbagai aktiviti.

Katanya, selain sibuk merancakkan semula aktiviti promosi single ketiga berjudul Aku Suka Kamu, dia juga giat berlatih boling.

“Bermain boling adalah minat saya dan disebabkan sibuk fokus pada pelajaran, sudah enam bulan saya berehat.

“Tempoh rehat yang lama itu membuatkan saya perlu mengaturkan semula jadual untuk latihan boling,” katanya.

Berbicara mengenai single Aku Suka Kamu, Wani berkata, dia sangat bersyukur lagu itu berjaya menambat hati pendengar muzik tanah air.

“Selepas percubaan untuk single kedua Berteman Saja gagal, ia memang memberi kesan besar terhadap karier nyanyian saya.

“Nama saya sepi seketika walaupun tidak putus usaha dan tampil dengan lagu duet Kumbang Dan Bunga,” katanya.

Apa pun, Wani mengakui dia langsung tidak menduga single Aku Suka Kamu akan menyerlahkan semula namanya di pentas nyanyian.

Menurut anak sulung dalam keluarga ini, biarpun dia perlu menghentikan seketika urusan promosi single itu tetapi masih diterima baik pendengar.

“Sebenarnya selama dua bulan ini saya berehat daripada sebarang aktiviti promosi single kerana menumpukan perhatian terhadap SPM.

“Justeru, saya tidak letak harapan tinggi untuk single Aku Suka Kamu terus jadi pilihan pendengar kerana promosi terhad dilakukan.

“Apapun, saya sangat berterima kasih kepada pendengar kerana hingga kini masih meminati single Aku Suka Kamu. Paling membuatkan saya gembira kerana single Aku Suka Kamu masih kekal tersenarai dalam carta popular,” katanya.

Mengulas perancangan single seterusnya, Wani berkata, dia tidak mahu terburu-buru dan biarlah masa menentukan.

“Selagi single Aku Suka Kamu mendapat sambutan baik, saya akan teruskan publisiti dan promosi lagu ini.

“Bagaimanapun, saya mengharapkan supaya sampai masanya dapat ketengahkan bakat mencipta lagu sendiri.

“Ini kerana kalau ada masa lapang, saya memang suka mencipta melodi dan tulis lirik lagu ketika bermain muzik di rumah,” katanya.

Menurut Wani, apa yang pasti dia harus lebih dulu memastikan lagu ciptaannya berjaya menepati cita rasa pendengar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:16 AM