NADIA
NADIA
Najiy Jefri


Tiada istilah kesal dalam kamus hidup bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Nadia Hasnan apabila kehadirannya belum mampu menawan peminat sehingga agak ‘low profile’.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan, tuah belum berpihak kepadanya untuk berdiri sebaris artis terkenal lain.

Pemilik nama sebenar Nadia Haswani Hasnan ini berkata, lambakan penyanyi baru yang berbakat mungkin menjadi punca mengapa namanya sukar melekat di hati orang ramai.

“Saya ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tidak dinafikan negara kita mempunyai ramai penyanyi berbakat besar dan ia menyukarkan saya untuk dikenali.

“Selain itu, di laman sosial saya lihat ramai yang berminat menjadi penyanyi,” katanya kepada BLING!

Nadia berkata, dia berharap tahun 2017 dan 2018 akan memberi ruang baru kepada karier nyanyiannya.

“Selain aktif menyanyi saya juga sibuk mengacara dan bertugas sebagai penyampai radio sambilan di Era FM.

“Kalau boleh, tahun ini saya mahu tampil dengan single yang mampu melekat di hati pendengar. Saya masih mencari material sesuai untuk diketengahkan,” katanya yang mengacarakan program travelog Intai Intai Jenguk Jenguk untuk RTM.

Beralih sisi peribadi, Nadia yang menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya, Hafiz Hamdan pertengahan tahun lalu akui semakin tertarik dengan suaminya selepas tinggal sebumbung.

“Orang kata apabila tinggal serumah, kita akan nampak sikap sebenar pasangan kita. Saya dapati Hafiz lebih bertanggungjawab dan prihatin selepas kami berkahwin.

“Alhamdulillah selepas enam bulan hidup bersama, dia sangat terbuka dan tidak menghalang saya aktif menyanyi.

“Namun sebagai isteri, saya perlu pandai membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:03 AM