MILIKI identiti dan aura tersendiri dalam bidang pengacaraan.
MILIKI identiti dan aura tersendiri dalam bidang pengacaraan.
Syafil Syazwan Jefri


Tiga tahun lalu, nama pengacara Dayah Bakar mula menyerlah sebagai pengacara menerusi program Hijabista di TV9. Kini, dia mampu tersenyum melihat pencapaiannya dalam dunia penyiaran tanah air.

Tidak mahu sekadar bergelar pengacara program TV, Dayah yang memiliki identiti dan auranya tersendiri turut aktif mengacarakan majlis korporat.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga tahun ini perkembangan kerjaya saya sangat memberangsangkan. Pada awalnya, tidak mudah meyakinkan penonton dengan kebolehan saya dalam bidang pengacaraan,” katanya.

Menurut Dayah, dia ingin menjadi pengacara yang dihormati dan ada objektif tersendiri dalam kerjayanya.

“Saya mahu apa yang saya sampaikan itu ada mesej yang memberi manfaat kepada penonton. Itu matlamat sejak awal kemunculan dalam industri kerana saya mahu kekal lama dalam bidang ini,” katanya.

Menyaksikan program kendaliannya di TV, kebanyakannya program bercorak keagamaan. Namun, itu tidak membataskan minat pemilik nama sebenar Nur Hidayah Abu Bakar ini dalam konsep program berbeza.

“Minat saya sangat mendalam dalam fesyen, pelancongan dan makanan. Jadi, tidak semestinya kalau sebut nama Dayah Bakar saja, orang terbayangkan program agama. Sekiranya ada peluang, saya juga mahu mengendalikan program bercorak gaya hidup,” katanya.

Terbaru, selebriti berusia 27 tahun itu sedang menjalani penggambaran program Aura Bintang untuk saluran Salam HD di Hypp TV dan Soal Hati untuk saluran Capital TV di stesen sama.

“Program kendalian saya sebelum ini, Sembang Terapi di TV9 baru saja melabuhkan tirainya. Alhamdulillah, ramai sukakan program berkonsep santai itu. Sembang Terapi adalah program bermaklumat. Aura Bintang pula mengetengahkan artis tanah air yang berhijrah dan saya melakukan pelbagai aktiviti bersama mereka,” katanya.

Selain itu, Dayah turut mengacarakan program Rai untuk saluran Astro Oasis yang menampilkan pelbagai acara berteraskan Islam bukan saja di Malaysia, bahkan beberapa negara Asia.

Berduet dalam single sulung

Selain itu, Dayah juga kini hadir dengan single sulungnya, hasil duet dengan penyanyi Nomad.

“Buah tangan pertama ini berjudul Lebih Dari Terindah, ciptaan Kunci Demak. Pada awalnya, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk hadir dengan single duet sebagai lagu pertama.

“Namun begitu, apabila berbincang dengan penerbit dan pengurusan, akhirnya kami bersepakat memperkenalkan nama saya sebagai penyanyi menerusi Lebih Dari Terindah,” katanya.

Bercerita serba sedikit mengenai pengalaman pertamanya merakamkan lagu bersama Nomad, Dayah mengakui semuanya berjalan lancar dan sangat mudah. Lebih menarik, Lebih Dari Terindah tidak hanya menampilkan lagu semata-mata, tetapi juga hasil kolaborasi bersama pelukis tersohor, Yusof Ghani.

“Pak Yusof adalah pelukis tersohor dan karyanya sangat dikagumi oleh pencinta seni. Satu peluang besar buat saya dan Nomad apabila dapat bekerjasama dengan tokoh seni sepertinya.

“Dia mendengar lagu Lebih Dari Terindah dan secara automatik, tangannya mula melukis di kanvas. Apa yang dilukisnya adalah abstrak dan memberi erti tersendiri mengenai jalan cerita dalam lagu itu,” katanya.

Dayah juga kini sedang giat mempromosikan lagunya itu, antaranya menganjurkan peraduan di Instagram.

“Peminat boleh mendengar Lebih Dari Terindah di YouTube Hikayat Records. Rakam video nyanyi sebahagian lagu itu dan muat naik ke Instagram.

“Pada video itu, sertakan juga hashtag #ldtsing2win dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik daripada Hikayat Records. Paling menarik, hadiah utama yang bakal dimenangi adalah pakej percutian,” katanya.

Dayah berharap kehadirannya dalam dunia nyanyian diterima peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2016 @ 9:57 AM