Ramlah Zainal


PENYANYI popular Wany Hasrita mengakui dirinya menjadi mangsa penjenayah siber yang cuba memindahkan sejumlah wang daripada akaun bank miliknya, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Terlalu Memuja itu, dia menerima panggilan mencurigakan daripada seorang lelaki tidak dikenali.

“Sebelum kejadian, saya dihubungi lelaki tidak dikenali yang meminta bantuan.

“Lelaki itu mendakwa dia tersalah masukkan nombor telefon untuk membayar pinjaman pendidikan (PTPTN).

“Pada masa sama, saya dapat mesej kod pengesahan transaksi (TAC) daripada pihak bank," katanya yang akan menyekat nombor telefon yang tidak dikenali.

Bimbang dirinya menjadi mangsa jenayah siber, Wany kemudian mendaftar masuk ke akaun bank miliknya untuk memeriksa sekiranya ada sebarang transaksi.

“Saya terkejut apabila ada pembayaran sebanyak RM1,850 kepada akaun perkhidmatan internet fiber optik.

“Saya segera menghubungi pusat bantuan bank bagi melaporkan transaksi itu dan pihak perkhidmatan internet fiber optik terbabit juga memberikan kerjasama dengan memulangkan semula wang terbabit,” katanya.

Belajar daripada pengalaman itu, Wany meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang aktiviti mencurigakan atas talian.

“Jika dapat panggilan atau mesej mencurigakan daripada individu tidak dikenali, jangan jawab.

“Sila tukar kata laluan (password) anda dengan segera bagi mengelakkan mereka akses ke akaun bank dan segeralah laporkan kejadian itu ke bahagian khidmat pelanggan bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 7:07 PM