ANTARA wajah 47 warga asing yang ditahan polis berkaitan penipuan pelaburan di Melaka tidak lama dahulu. FOTO Khairunisah Lokman
ANTARA wajah 47 warga asing yang ditahan polis berkaitan penipuan pelaburan di Melaka tidak lama dahulu. FOTO Khairunisah Lokman
Nurul Hidayah Bahaudin


WALAUPUN kerap kali pendedahan mengenai penipuan jenayah siber dan multimedia diuar-uarkan namun masih ramai individu terperdaya sekali gus menjadi mangsa.

Malah, jumlah kes dan kerugian mencatatkan peningkatan ketara hingga mencecah ratusan juta ringgit bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, sebanyak 8,502 laporan diterima membabitkan penipuan jenayah siber dan multimedia dengan kerugian berjumlah RM378.7 juta pada tahun lalu.

“Manakala bagi tempoh Januari lalu hingga pertengahan tahun ini (Jun), sebanyak 10,753 laporan diterima membabitkan kerugian RM398.6 juta.

“Jumlah itu meningkat sebanyak 2,251 laporan dengan pertambahan nilai kerugian RM19.9 juta sehingga pertengahan tahun ini berbanding tempoh sepanjang tahun lalu,” katanya.

Victor berkata, tiga komponen utama jenayah siber dan multimedia iaitu e-telekomunikasi, e-kewangan dan e-dagang masing-masing menunjukkan peningkatan jumlah kes serta nilai kerugian.

Katanya, polis mendapati ada pihak tertentu menggunakan pelbagai taktik licik untuk melakukan penipuan termasuk Love Scam dan penipuan panggilan telefon.

“Ada antara penjenayah ini menggunakan alasan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) silap dihantar ke nombor telefon sebelum mangsa menyedari ditipu selepas kehilangan wang dalam akaun.

“Lebih memburukkan keadaan apabila ada individu yang mengambil mudah perkara ini, tidak mahu ambil tahu sama ada perkara diberitahu benar atau sebaliknya,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat pemeriksaan terlebih dulu kepada pihak berkuasa atau agensi berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi pemindahan wang.

“Selain itu, jangan sesekali memberi maklumat peribadi serta butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:30 AM