Amir Abd Hamid


Reyhanli (Turki): Tiada perkataan sesuai untuk menggambarkan kepiluan apabila menyaksikan pantomim anak Syria.

Pantomim setengah jam mengenai kejatuhan beberapa wilayah di Syria dengan cara kekejaman bersenjata meruntun hati hadirin termasuk kumpulan misi.

Misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria di Turki-Syria anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) adalah antara 25 Januari sehingga 4 Februari depan.

Lakonan itu adalah antara slot persembahan yang dihadiri lebih 1,000 pelarian Syria untuk meraikan tetamu misi dari Malaysia yang tidak jemu membantu mereka.

Sukarelawan yang juga suri rumah, Sharifah Azura Said Hamoza, 33, berkata dia tidak dapat menahan air mata melihat mesej yang disampaikan kanak-kanak Syria itu.

Sharifah Azura Said
Sharifah Azura Said

"Saya sangat tersentuh. Kanak-kanak itu lakonkan semula apa sebenarnya berlaku dalam negara mereka.

"Saya ada anak kembar tiga iaitu dua perempuan seorang lelaki berusia empat tahun. Oleh itu, apabila melihat mereka barulah kita tahu betapa untungnya anak Malaysia.

"Malaysia aman tak ada perang namun kita tak peduli langsung hendak bersyukur," katanya yang juga bekas pramugari MAS.

Menurutnya, pelarian itu hanya mengharapkan sumbangan berikutan hidup dalam serba kekurangan.

Bantuan untuk Syria anjuran Muslim Care adalah berterusan dan orang ramai masih boleh memburu pahala, salurkan sumbangan tunai ke akaun Maybank (5644-9041-3882) atau Bank Islam (140-140101-4740) atau ke akaun Bank Muamalat (14-0100-0765-4717).

Maklumkan sumbangan anda dengan menghantar mesej pesanan ringkas atau WhatsApp kepada Johari Ismail di 016-9978323 atau Zakaria Abd Latiff (012-6935938).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 10:12 PM