ILYA fikir apa kebaikan yang boleh dilakukan ketika hayat masih ada sebaik mendapat tahu menghidap sakit jantung. FOTO Facebook Ilya Buang
ILYA fikir apa kebaikan yang boleh dilakukan ketika hayat masih ada sebaik mendapat tahu menghidap sakit jantung. FOTO Facebook Ilya Buang
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


"SEBAIK mengetahui menghidap penyakit ini, saya hanya mendiamkan diri. Pada ketika itu saya merasakan tiada harapan untuk kembali aktif," kata pelakon dan pelawak, Ilya Buang, 52, yang kini menghidap sakit jantung.

Ilya berkata, dia mengetahui menghidap penyakit itu sebaik pulang daripada majlis perkahwinan saudaranya di Shah Alam, Selangor pada 14 September lalu.

Katanya, sewaktu memandu kereta menuju ke kedai makannya di Bangi, dia berasa sakit dada sebelum tangan kiri dan bahunya lenguh.

"Saya sangkakan gastrik kerana pernah berdepan situasi itu sebelum ini. Secara kebetulan saya ternampak papan tanda Hospital Putrajaya lalu bergegas ke sana," katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, sebaik menjalani pemeriksaan di bahagian kecemasan, doktor memberitahu dia disyaki menghidap sakit jantung lalu dimasukkan ke wad selama tiga hari.

"Doktor maklumkan saya bernasib baik kerana datang awal dan sekarang bermulalah episod baru dalam kehidupan," katanya yang turut menghidap diabetes dan darah tinggi sejak 10 tahun lalu.

Bekas anggota Senario itu berkata, dia kini tidak memikirkan mengenai jangka hayatnya tetapi apa kebaikan yang boleh dilakukan ketika hayat masih ada.

"Buat masa ini pergerakan saya terbatas, malah pihak produksi juga sedia maklum masalah kesihatan ini," katanya yang setakat ini melakukan kerja ringan.

Selain sibuk dengan kerjaya seni, Ilya memberitahu faktor sibuk di kedai makannya mungkin penyebab masalah kesihatan.

"Setakat ini saya menjalani rawatan susulan di klinik kerajaan dan pada 10 Oktober ini akan menjalani ujian tekanan di Hospital Putrajaya.

"Jika keputusan tidak memuaskan, saya mungkin dirujuk ke Institut Jantung Negara," katanya.

Ilya adalah bekas peserta Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 sebelum menyertai kumpulan lawak, Senario pada 1996.

Dia kemudian menyertai Hiro dan Sepahtu dalam Maharaja Lawak Mega pada 2011 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 12:47 PM