Raja Ilya
Raja Ilya
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Impian pelakon, Raja Ilya dan suami, Trent Garret untuk menimang cahaya mata perempuan tercapai.

Berita gembira itu diumum Garret dalam video memotong kek yang dimuat naik di Instagram Ilya, malam semalam.

"Ia merah jambu. Maksudnya, ia bayi le.... maaf, perempuan," kata Garret dalam video itu.

Dalam hantaran itu, Ilya turut berkongsi perasaan teruja untuk menimang cahaya mata sulung hasil perkahwinan mereka itu.

"Sangat teruja. Memang nak sangat bayi perempuan sebagai anak pertama. Boleh melaram sekali, 'doll up'. Syukur Alhamdulillah," tulisnya.

Menurut Ilya yang kini menetap di Australia, semuanya sudah tertulis oleh Allah dan keluarga sebelah suaminya juga sememangnya mengharapkan kehadiran bayi perempuan dalam keluarga.

"Allah tahu yang terbaik untuk kami. Amin. Nasib baik bukan bayi lelaki. Kita tak ada pengalaman sangat mengendalikan bayi lelaki.

"Sebelah (keluarga) Trent pula, semua lelaki. Jadi, mereka memang mengharapkan ada bayi perempuan dalam keluarga," tulisnya.

Ilya juga mengucapkan terima kami atas doa pengikutnya di Instagram dan berharap bayi yang akan dilahirkan itu dalam keadaan sihat.

"Ramai yang teka bayi lelaki. Saya hargai tekaan anda semua. Yang penting, bayi sihat walafiat. Terima kasih untuk semua doa dan ucapannya," tulisnya.

Dalam video berkenaan, turut kelihatan beberapa ahli keluarga Trent termasuk ibu bapanya dan mereka kelihatan teruja ketika Trent memotong kek coklat yang disediakan dengan krim berwarna merah jambu di bahagian tengah.

Ilya dan Trent melangsungkan pernikahan pada 23 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 11:47 AM