GAVIN Yap (empat kiri) bersama barisan pelakon filem Dendam Pontianak. FOTO Aziah Azmee
GAVIN Yap (empat kiri) bersama barisan pelakon filem Dendam Pontianak. FOTO Aziah Azmee
Rudy Imran Shamsudin


MEMBANGGAKAN apabila selepas hampir seminggu ditayangkan filem Dendam Pontianak sudah berjaya membuat kutipan pecah panggung dengan RM1.3 juta keseluruhan.

Filem yang menampilkan lakonan hebat Fazura bergandingan dengan Remy Ishak, Hisham Hamid, Shenty Feliziana, Namron dan Tony Eusof itu turut mendapat sambutan hangat di Singapura.

Menjelaskan mengenai kejayaan awal diraih filem yang diedarkan Primeworks Studios itu, Pengurus Pengedaran dan Pemasaran Filem, Primeworks Studios, Liz Chong sewaktu dihubungi hari ini berkata, setakat ini kutipan keseluruhan filem Dendam Pontianak sudah mencecah S$500,000 (RM1.64 juta), di negara seberang tambak itu.

“Filem Dendam Pontianak di Singapura yang mula ditayangkan pada 29 Ogos lalu juga sudah mengatasi kutipan pecah panggung dibuat filem Hantu Kak Limah dan juga Dukun sebelum ini,” katanya.

Sambutan terhadap filem Dendam Pontianak juga masih berterusan di sini, terutama sepanjang cuti panjang sempena sambutan Hari Malaysia.

“Kebanyakan penonton memberikan komen positif terhadap filem yang diarahkan Glen Goei dan Gavin Yap ini, terutama membabitkan pengarahan seni dan juga sinamatografinya.

“Rata-rata mereka berkata menggemari latar cerita memaparkan cinta yang rawan membabitkan watak utama filem Dendam Pontianak, Mina lakonan Fazura,” katanya.

Filem Dendam Pontianak itu turut menampilkan runut bunyi yang didendangkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kasihku Selamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 3:57 PM