SHENTY melihat wanita menyerupai watak Mina berada di belakang Fazura. FOTO Aziah Azmee
SHENTY melihat wanita menyerupai watak Mina berada di belakang Fazura. FOTO Aziah Azmee
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON kelahiran Singapura Shenty Feliziana, berkongsi pengalaman menyeramkan sewaktu menjayakan filem Dendam Pontianak yang bakal ditayangkan kepada umum pada 12 September ini.

Situasi itu berlaku sewaktu dia bersama Fazura menjayakan satu babak di mana menunjukkan watak utama Mina yang sudah bertukar menjadi pontianak, sedang membuka pintu dan mahu masuk ke dalam rumah.

Shenty berkata, disebabkan itu penonton akan dapat melihat ketakutan yang dizahirkan dalam babak terbabit benar-benar hidup.

“Sebenarnya ketika itu saya menggigil kerana sudah melihat makhluk halus yang berdiri di belakang Fazura. Tapi disebabkan penggambaran sedang berjalan saya tahan perasaan dan meneruskan penggambaran.

“Saya melihat wanita menyerupai watak Mina berada di belakang Fazura dan ia benar-benar menakutkan,” katanya ketika ditemui di majlis malam gala tayangan filem Dendam Pontianak malam tadi.

Dalam waktu sama kata pelakon filem Apa Celop Toqq itu lagi, dia turut dikejarkan ke hospital sewaktu menjayakan filem Dendam Pontianak, memegang watak Siti, isteri kepada Khalid lakonan Remy Ishak.

“Selain dihantui pengalaman menakutkan apabila ternampak entiti misteri, cabaran menjayakan filem ini juga agak besar kerana kita bekerja dari malam hingga ke pagi.

“Dalam tempoh 30 hari penggambaran saya harus memakai korset sepanjang masa. Bayangkan situasinya, sudahlah saya tidak biasa memakai korset,” katanya.

Selain itu katanya, penat juga menjadi faktor kenapa dia dikejarkan ke hospital sewaktu menjalani penggambaran filem Dendam Pontianak.

“Sepanjang penggambaran filem Dendam Pontianak ini berjalan waktu sama saya sibuk buat persediaan untuk majlis nikah dan kahwin yang berlangsung pada April 2018,” katanya.

Sebelum ini sewaktu ditemui dalam satu sesi fotografi khas diatur penerbit, pelakon utama filem Dendam Pontianak, Fazura turut berkongsi perkara sama, apabila dia dan beberapa kru filem terbabit turut melihat kelibat wanita berambut panjang menyerupai dirinya mengganggu mereka sewaktu penggambaran dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 7:05 PM