REMY masih berusaha melawan masalah kemurungan. FOTO Aziah Azmee
REMY masih berusaha melawan masalah kemurungan. FOTO Aziah Azmee
Ramlah Zainal


PELAKON popular Remy Ishak mengakui dia pernah berdepan dengan tekanan dan kemurungan sepanjang berkecimpung dalam bidang seni tanah air.

Menurut pelakon filem Sangkar itu, sebagai selebriti perkara berkenaan tidak dapat dielakkannya.

“Mungkin orang nampak okey dari segi luaran tetapi hakikatnya, saya sendiri pernah melalui masalah kemurungan sebelum ini.

“Sampai sekarang pun saya masih berusaha melawan masalah kemurungan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia akan mengalami kemurungan melampau setiap kali filem lakonannya akan ditayangkan di pawagam.

“Contohnya, saya berasa takut dan berdebar menanti filem Sangkar ditayangkan di pawagam tanah air.

“Saya juga tidak tahu nak luahkan kepada siapa debaran dan perasaan takut sebelum ini,” katanya.

Justeru, kata Remy, sebagai umat Islam, dia memilih untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Apabila berasa kemurungan saya akan menadah tangan dan berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat lima waktu.

“Alhamdulillah, saya berjaya melawan kemurungan ini dengan mendekatkan diri dengan Allah dan ia juga sebagai terapi diri,” katanya.

Pada masa sama, Remy juga menasihatkan artis muda yang berdepan dengan tekanan dan kemurungan supaya mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Setiap orang ada cara berbeza melawan kemurungan dan ada juga yang memilih untuk berkongsi dengan rakan bagi meluahkan tekanan dihadapi.

“Saya juga ada memberi nasihat kepada pelakon Diana Danielle mengenai masalah kemurungan dihadapinya ketika kami berlakon sama sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 7:20 PM