REMY ISHAK
REMY ISHAK
Ramlah Zainal


PELAKON popular Remy Ishak menepis dakwaan sengaja ‘menjual’ tubuh sasanya untuk melariskan filem aksi Sangkar yang bakal menjengah pawagam pada 29 Ogos depan.

Menurut Remy, dia terpaksa mendedahkan tubuhnya untuk menjiwai watak Johan selaku peninju dalam filem seni bela diri campuran (MMA) itu.

“Saya bukannya rakam gambar tidak berbaju dalam tandas dan memuat naiknya di laman instagram.

“Sudah 15 tahun saya dalam industri seni dan tidak perlu tayang tubuh untuk mencari publisiti murahan.

“Saya tidak berbaju untuk memenuhi tuntutan watak dalam filem semata-mata,” katanya.

Ditanya jika ada peminat yang akan berfantasi nakal bila melihatnya tidak berbaju dalam filem, Remy berkata, dia bersedia dengan apa sahaja reaksi peminat nanti.

“Saya tidak dapat menghalang jika ada peminat yang berfantasi sedemikian.

“Bagi saya, jika peminat tertarik kepada saya pada usia sekarang, ternyata saya masih ada permintaan lagi dalam bidang hiburan,”katanya.

Pada masa sama kata Remy, dia juga bersedia menerima maklum balas penonton mengenai lakonannya dalam filem Sangkar.

“Saya juga bersedia menerima sebarang kecaman netizen.

“Jika dulu mungkin saya cepat melatah tetapi sekarang saya sudah bijak mengawal keadaan,” katanya.

Dalam filem Sangkar arahan Kabir Bhatia itu, Remy tampil sebagai teraju utama bersama Zul Ariffin dan Mira Filzah.

Filem itu turut menyaksikan kerjasama Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:23 PM