REMY Ishak. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
REMY Ishak. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ramlah Zainal


Setiap kali diasak soal kahwin, pelakon popular Remy Ishak mengakui belum bersedia.

Malah, Remy, 36, turut mengakui tunangnya juga belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri.

“Saya memang serius soal kahwin ini. Jika nak diikutkan, saya juga mahu tarikh pernikahan kami dipercepatkan.

“Kami ada berbincang mengenai perancangan untuk berkahwin. Bukan saja saya yang belum sedia nak menjaga anak dara orang, tunang pun sama belum bersedia untuk menjadi isteri sekarang,” katanya yang bertunang dengan ahli perniagaan, Roszaliza Yusof pada Mei tahun lalu.

Ditanya sama ada dia merancang berkahwin tahun depan, Remy juga belum ada jawapannya.

“Perkahwinan adalah penyatuan dua hati dan kami akan berkahwin apabila kedua-dua pihak bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Hubungan kami ada turun dan naik. Saya sendiri belum sedia untuk beri komitmen pada perkahwinan sekarang kerana masih banyak perkara yang belum tercapai dalam karier seni,” katanya.

Remy berkata, dia juga tidak mahu terburu-buru untuk berkahwin sedangkan masing-masing belum bersedia.

“Memang kami mengikat pertunangan selama dua tahun. Saya akui tempoh bertunang ini banyak dugaannya tetapi saya mahu beri dia (tunang) masa untuk kenal diri ini sepenuhnya dulu.

“Jika lepas habis tempoh dua tahun, dia (tunang) belum sedia, kami akan tangguhkan lagi perancangan untuk kahwin itu,” katanya.

Sibuk dengan promosi filem Pulang

Remy juga sibuk mempromosikan filem terbarunya, Pulang arahan Kabir Bhatia yang dijangka ditayangkan bulan depan.

Filem berkenaan menggandingkannya dengan pelakon jelita, Puteri Aishah.

“Pulang mengenai kisah kelasi kapal, Othman yang merantau ke luar negara kerana mahu memberikan kesenangan kepada isterinya, Che Tom.

“Saya menaruh harapan filem membabitkan bajet pembikinan RM2 juta ini akan diterima semua golongan masyarakat. Pulang adalah filem yang boleh dibanggakan sekali gus mengangkat filem tempatan ke tahap lebih tinggi dan menjadi penanda aras filem di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Remy juga terpaksa menaikkan berat badannya daripada 73 kilogram (kg) ke 82kg untuk menjiwai wataknya sebagai Johan dalam filem genre aksi Sangkar.

“Saya bergandingan dengan Zul Ariffin yang turut menaikkan berat badannya mencecah 85kg dalam filem arahan Kabir ini.

“Terus terang, saya tidak selesa dengan berat badan baru ini tetapi ia komitmen untuk watak dalam filem Sangkar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:12 AM