FRANCISSCA Peter dan Ella
FRANCISSCA Peter dan Ella
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


SUDAH lebih enam dekad rakyat Malaysia melaungkan kata azimat ‘merdeka’ dengan penuh rasa cintakan negara tanpa mengira kaum dan agama.

Setiap kali tiba Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun, rata-rata akan mula bersemangat dan berbangga menjadi anak Malaysia apabila hidup dalam suasana harmoni serta aman damai.

Bagi menyemarakkan semangat dan rasa cinta terhadap negara, Bling! senaraikan 10 lagu patriotik lama dan baharu yang sentiasa menjadi siulan serta menyuntik rasa bangga menjadi anak Malaysia.

1. Tanggal 31 - Sudirman (1982)

Inilah lagu mengenai Hari Kebangsaan paling popular dan ‘evergreen’. Apabila Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad mula menyanyikannya 37 tahun lalu, ia cukup sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan.

Ia diminati peminat tidak kira bangsa yang membangkitkan semangat patriotisme pada negara tercinta. Lagu ini dicipta penyanyi kelahiran Medan, Indonesia, Ahmad CB. Versi asal lagu ini dinyanyikan oleh Ahmad.

Sudirman dilihat gemar bereksperimentasi dengan dunia seninya dengan melangkaui warna kulit dan ras, tetapi mendekati, mendalami dan menjiwai makna falsafah nasionalisme yang diterjemahkan melalui lagunya.

2. Saya Anak Malaysia - Dr Sam & Musafir (1986)

Selain Tanggal 31, ini juga lagu paling diingati rakyat Malaysia terutama kanak-kanak. Ketika bergabung dengan kumpulan Musafir, Dr Sam mengeluarkan album Saya Anak Malaysia pada 1986 & Semarak Merdeka (1987) di bawah syarikat rakaman PolyGram.

3. Standing in the Eyes of the World - Ella (1998)

Lagu tema Sukan Komanwel 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah hasil ciptaan David Gates dan Datuk Wah Idris. Ia dinyanyikan Ella dalam dua versi iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

Bait lirik yang terkandung dalam lagu ini menjentik emosi dan meremangkan bulu roma setiap rakyat Malaysia setiap kali ia dimainkan. Tidak hanya boleh membangkitkan rasa cinta kepada negara, lagu ini juga mampu membuatkan anda menitiskan air mata.

4. Warisan - Sudirman (1982)

Sudirman antara penyanyi yang banyak menyanyikan lagu patriotik. Lagu ini dicipta Allahyarham Syed Haron dan lirik awalnya, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta pernah diangkat menjadi tema bagi sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-57 pada 2014.

5. Bahtera Merdeka - Aishah (1996)

Ia lagu bercorak patriotik hasil ciptaan komposer kelahiran Singapura, Kassim Masdor dan lirik oleh S Sudarmaji. Lagu nyanyian Aishah ini begitu menyentuh kalbu dan sering dijadikan pembakar semangat buat anggota keselamatan di medan perjuangan. Versi asal lagu ini dinyanyikan oleh Ahmad Jais.

6. So Many Hands - Mia Palencia (2017)

Lagu ini antara lagu tema Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur pada 2017 di samping Tunjuk Belang dan Bangkit Bersama.

Dilancarkan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia pada 13 Julai 2017 dan dinyanyikan penuh sempurna oleh Mia Palencia.

7. Negaraku - Faizal Tahir, Joe Flizzow, Atlimet dan SonaOne (2016)

Paduan suara empat penyanyi ini membuatkan ramai pendengar terus jatuh cinta. Lagu ini dilancarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 2016.

Ia digubah oleh Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir dari Faithful Music serta ditulis hasil gabungan empat penyanyi ini juga.

FAIZAL Tahir
FAIZAL Tahir

8. Gemuruh - Faizal Tahir (2007)

Diterbitkan pada 2007, Gemuruh adalah lagu yang wajib dimainkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Lagu ini dimuatkan di dalam album sulung Faizal Tahir berjudul Aku.Kamu.Muzik. Lagu ciptaan Aubrey Suwito ini begitu mendapat tempat di hati rakyat Malaysia dan terus mampu membangkitkan semangat.

ERNIE Zakri dan Syamel
ERNIE Zakri dan Syamel

9. Malaysiaku - Kidd Santhe, Zizi Kirana, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari & Lil J (2018)

Lagu dendangan Kidd Santhe, Zizi Kirana, Syamel, Ernie Zakri, Ara Johari dan Lil J ini mendapat sentuhan DJ Biggie & Kidd Santhe of Monster Sound My serta lirik oleh Kidd Santhe, Kym Kmo, Syamel, Ara Johari, Ernie Zakri, Lil J.

Lagu ini nyata berjaya membangkitkan rasa kecintaan terhadap negara Malaysia.

10. Setia - Francissca Peter, Man Bai, Zainal Abidin, Hael Husaini, Syamel, Ara Johari, Nicole dan Ernie Zakri (2018)

Lagu nyanyian asal Francissca Peter ini dicipta Datuk Ahmad Dasilah dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Ia digubah semula oleh wartawan, Dania Zainuddin yang berkelulusan muzik dari Berklee College of Music, Amerika Syarikat. Ia diberi nafas baharu dengan gabungan penyanyi tersohor dan penyanyi berbakat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:20 AM