Sherry dan Alif bakal beraksi di pentas AJL32 pada 11 Februari ini.
Sherry dan Alif bakal beraksi di pentas AJL32 pada 11 Februari ini.
Najiy Jefri


GABUNGAN mantap dua pengacara popular, Sherry Al-hadad dan Alif Satar bakal menghangatkan malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, bulan depan.

Ini kali pertama mereka berdua berkongsi pentas dalam acara prestij dan cukup dinanti-nantikan peminat muzik tanah air.

Sebelum ini mereka pernah berganding sebagai pengacara Konsert Rocknova, tahun lalu.

Bertemakan Fesyen dan Muzik, AJL32 bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 Februari ini.

Sherry berkata, dia dan Alif sangat teruja diberi tanggungjawab sebagai pengacara acara gemilang dan prestij ini.

“Sebenarnya saya berasa bertuah kerana dipilih sebagai pengacara AJL32. Banyak kejutan bakal kami persembahkan nanti,” katanya.

Alif pula berharap gandingannya bersama Sherry akan menghidupkan acara yang penuh gilang-gemilang itu.

Sebanyak 12 lagu bakal berentap ialah Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Lebih Sempurna (Syamel), Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Lagu lain ialah Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

AJL32 menyaksikan persembahan hebat Stacy, AG Coco, Edrie Hashim, Waris, Siti Sarah, A.Rahman Hassan dan Jeffrey Din.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 4:22 PM