PAPARAN muzik videlo Sentiasa Di Sini ciptaan AG Coco dan Noh Salleh. FOTO Youtube
PAPARAN muzik videlo Sentiasa Di Sini ciptaan AG Coco dan Noh Salleh. FOTO Youtube
Najiy Jefri

 

BAGI menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani penularan Covid-19, seramai 26 penyanyi tempatan berpadu suara menjayakan sebuah lagu berjudul Sentiasa Di Sini.

Lagu ciptaan AG Coco dan lirik oleh Noh Hujan itu menampilkan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Noh Hujan, Marsha Milan, Naim Daniel, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, NJWA dan Azlan Typewriter.

Ia turut dijayakan Imran Ajmain, Mimi One Nation Emcee, Ali Masdo, Kashika, Nicole Lai, Masya Masyitah, Putera Muhammad, Usop, Dinda, Jacqueline, Danny Ah Boy, Nehsan Selvaraj, Umairah, Yoyo, Xavier dan EL Ceria Popstar.

Noh menyifatkan penghasilan lagu terbabit sebagai satu usaha yang baik apabila seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dalam membasmi Covid19.

“Kami barisan selebriti tanah air menyokong petugas barisan hadapan yang komited dalam kerja mereka. Seluruh rakyat mahukan sesuatu yang positif, jadi saya amat berbangga apabila dapat terbabit dalam projek ini. Melalui lagu ini juga, saya berharap ia menjadi semangat buat rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi yang perit ini,” katanya.

Lagu terbitan Astro menerusi platform digital Gempak itu kini boleh didengari di laman YouTube sejak semalam.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, kerjasama itu diibaratkan satu magis apabila Astro dan selebriti Malaysia dapat sebuah lagu dan muzik video untuk memberi semangat kepada rakyat Malaysia.

“Ketika semua rakyat Malaysia dinasihatkan berada di rumah, saya melihat sokongan bukan sahaja boleh diberikan melalui keringat dan wang ringgit, tapi boleh disampaikan melalui lagu dan kata-kata semangat. Semoga usaha murni ini dapat memberi semangat kepada tenaga barisan hadapan, sekali gus mengekalkan momentum kita dalam menentang pandemik Covid-19.

“Lagu ini dirakam dan dihasilkan secara berasingan dengan setiap selebriti menghantar audio dan visual nyanyian mereka sendiri. AG Coco menggabungkan semua suara menjadi sebuah lagu yang indah dengan kemahiran pasukan Gempak menyunting visual untuk dijadikan muzik video yang menyentuh perasaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 2:40 PM