FILEM Sangkar aksi sarat dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan dua lelaki.
FILEM Sangkar aksi sarat dengan elemen kekeluargaan dan persahabatan dua lelaki.
Najiy Jefri


SEBUAH filem yang bukan hanya mengangkat kisah sukan lasak Mixed Martial Arts (MMA) semata-mata, malah Sangkar sebenarnya sarat dengan elemen kekeluargaan serta persahabatan antara dua lelaki.

Berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem arahan Khabir Bhatia itu, kelmarin, ternyata filem yang menampilkan empat penerbit gergasi iaitu Primeworks Studios dan Astro Shaw bersama syarikat produksi Infinitus Gold dan mm2 Entertainment bakal menyentuh emosi penonton.

Apa yang mengujakan, filem yang bakal menemui penonton bermula 29 Ogos itu berani membawa aksi yang terbaik dan konflik yang hebat hasil gabungan dua pelakon tersohor negara, Zul Ariffin dan Remy Ishak.

Kabir berkata, Sangkar tidak hanya bercerita mengenai dua lelaki yang berjuang dalam pertarungan yang berlangsung, tetapi perubahan yang berlaku terhadap kedua-dua individu itu yang sememangnya harus diberi perhatian.

“Ketika saya dihubungi untuk mengarahkan Sangkar, saya difahamkan filem ini membabitkan bidang sukan lasak dan mempunyai struktur penceritaan tersendiri.

“Saya harus menggali ke dasar dan mencari apa yang membuatkan filem sukan lasak boleh diterima penonton.

“Kita tahu babak pertarungan adalah sangat penting, tetapi elemen yang menghubungkan semua watak dan penceritaan bukan hanya sekadar pertarungan sahaja malah lebih daripada itu.

“Saya mengimbas semula semua filem yang bertemakan sukan lasak yang terbaik pernah saya tonton seperti Rocky dan Ali. Apa yang mereka ketengahkan bukanlah sekadar di dalam gelanggang itu sendiri, ia lebih kepada kepercayaan diri sendiri dan hubungan dengan orang yang tersayang,” katanya.

Menurut Kabir, antara cabaran utama yang ditempuh adalah untuk menggarap satu kisah yang luar biasa dan mempunyai sstu penceritaan yang kuat.

ANTARA babak didalam filem Sangkar.
ANTARA babak didalam filem Sangkar.

“Di sebalik perlawanan hebat di dalam gelanggang yang dipaparkan di dalam Sangkar, apa yang kami ketengahkan adalah kisah dua lelaki yang berjuang di luar gelanggang untuk melepaskan diri daripada belenggu anasir negatif dalam dirinya sendiri.

“Mereka berubah ke arah lebih baik dengan berjuang untuk diri dan maruah mereka. Pihak penerbit juga bersetuju dan mahu ketengahkan lagi mesej dan nilai positif.

“Penulis skrip dan tenaga produksi juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan idea yang cukup bernas dan segar di mana dua watak mempunyai cara dan kehidupan yang berbeza tetapi bertemu dalam satu situasi di luar gelanggang yang tidak dijangka dan itulah nadi utama kepada Sangkar,” katanya.

Selain dibintangi Zul dan Remy, Sangkar turut dilakonkan Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray Johara, Adam Mika, Aman Graseka dan Carliff Carleel.

Sangkar mengisahkan Adam, seorang pejuang MMA yang angkuh memenangi satu pertarungan dengan taktik kotornya. Apabila dicabar di luar Sangkar, Adam secara tidak sengaja mencederakan pihak lawannya, Johan.

Adam dibelenggu rasa bersalah dan risau kerana Johan tahu bahawa dialah punca menyebabkan kecederaan itu. Tetapi lama-kelamaan, Adam secara tidak sengaja menjadi sebahagian daripada hidup Johan.Dia kemudian mendapat tahu kecederaan yang menimpa Johan itu menyebabkan Lea dan Reza, ahli keluarga Johan hilang punca rezeki dan harapan.

WATAK MENCABAR

Remy mahu lari daripada kebiasaan. Remy seronok melakonkan watak aksi dalam filem itu kerana ia memberi kelainan dalam corak lakonannya yang lebih sinonim dengan watak cinta dan kekeluargaan sebelum ini.

Remy berkata, walaupun melakonkan watak aksi agak mencabar, dia suka melakukannya.

“Saya berdebar menantikan maklum balas penonton. Diharapkan filem ini akan mencipta satu fenomena baru dalam industri seni dan portfolio saya sebagai pelakon,” katanya.

Menurut Remy, menjayakan watak lumpuh bukan satu perkara yang mudah, namun berkat tunjuk ajar Kabir serta kesungguhan menjayakan watak Johan, dia memberikan sebaik mungkin.

“Saya meletakkan sepenuh jiwa dan raga dalam filem ini. Selepas filem Pulang tidak berjaya seperti yang saya harap­kan, saya ambil kekecewaan itu dan letakkan emosi dalam karakter itu.

“Memang menjayakan watak lumpuh satu badan bukan mudah tapi saya cuba mencari kelainan untuk filem ini. Saya harap filem ini menjadi sebutan dan me­ngangkat industri perfileman tanah air,” katanya.

Ditanya adakah dia meminati sukan MMA seperti Zul Ariffin, Remy berkata, sebelum ini dia pernah meminati sukan itu, namun disebabkan kekangan kerja, dia tidak lagi aktif.

“Saya pernah menjalani latihan dalam sukan MMA, tapi sekarang sudah tidak lagi. Pengalaman yang dimiliki sedikit sebanyak membantu saya menjayakan filem ini.

FILEM Sangkar sarat nilai kemanusiaan.
FILEM Sangkar sarat nilai kemanusiaan.

“Selepas menjalani latihan bersama tenaga pengajar profesional, saya rasa lebih yakin dan berani, tidak semestinya untuk berlawan di gelanggang (seperti dalam filem itu), tapi mungkin dari segi stamina,” katanya.

Bagi Mira, dia mengakui tidak cukup berpuas hati dengan lakonannya dalam filem itu dan ingin memperbaikinya lagi.

“Jika diberi peluang untuk menjalani penggambaran sekali lagi, saya mahu lakukannya semula.”

“Kalau penonton tengok riak wajah saya dalam Sangkar, boleh nampak wajah saya kelihatan sedikit penat.

“Benda ini di luar jangkaan saya. Kita sudah atur yang terbaik. Ini adalah filem pertama yang saya menjalani penggambaran sebelum masuk ke set filem Rise Ini Kalilah. Secara jujurnya, filem ini sangat baik,” katanya.

Tambah Mira yang memegang watak sebagai adik kepada Remy, dia selesa dengan watak dalam filem ini.

“Watak saya seorang gadis biasa yang berdepan dengan konflik keluarga. Nak cakap mencabar, tidak juga. Saya senang sekali bekerjasama dengan pengarah hebat, Kabir Bhatia manakala Zul dan Remy sememangnya profesional dan mudah untuk berlakon bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:00 AM