IFA Raziah ambil contoh sebagai pencetus idea untuk muzik video lagu Starlela.
IFA Raziah ambil contoh sebagai pencetus idea untuk muzik video lagu Starlela.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, pelakon dan pengacara, Ifa Raziah mengakui menjadikan kumpulan K-Pop, BLACKPINK sebagai inspirasi untuk menghasilkan muzik video lagu baharunya bersama Zizi Kirana dan Bella Astillah berjudul Starlela.

Menurutnya, dia tidak meniru 100 peratus, sebaliknya menjadikan konsep daripada beberapa muzik video kumpulan dari Korea Selatan itu sebagai pencetus idea.

“Saya jadikan BLACKPINK sebagai pencetus idea untuk menghasilkan muzik video Starlela. Kalau nak 100 peratus seperti mereka, kosnya tentunya lebih mahal. Jadi, saya buat semampu boleh,” katanya.

Katanya, penghasilan muzik video itu berlangsung sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Untuk dapatkan lokasi yang nampak berwarna-warni, kami jalankan penggambaran di Muzium Selfie dan beberapa kawasan sekitar Jalan Bukit Bintang.

“Hasilnya memang memuaskan dan dapat apa yang saya mahukan dalam muzik video Starlela,” katanya.

Diminta mengulas komen daripada warganet yang menyamakan muzik video itu dengan muzik video lagu Jangan Gitu Dong nyanyian penyanyi Indonesia, Ayu Ting Ting, Ifa menafikannya.

“Saya sendiri pun dah lama tak dengar atau tonton muzik video lagu dangdut. Lagu dangdut terakhir yang saya tengok dan dengar pun, Lagi Syantik nyanyian Siti Badriah.

“Jadi, kalau ada persamaan dengan lagu Ayu Ting Ting, itu adalah kebetulan,” katanya.

Selain lagu ciptaan Hafiz Hamidun itu, Ifa juga dalam proses untuk merakamkan lagu baharu.

“Selepas ini, insya-Allah akan ada lagu baharu lagi daripada saya. Tak semestinya dangdut kerana saya nak kembali menjadi penyanyi versatil.

“Apa yang boleh saya katakan, corak muzik saya selepas ini akan mengikut peredaran waktu. Jangan terkejut kalau tiba-tiba saya keluarkan lagu nasyid kerana ia juga ada dalam perancangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:15 AM