BARISAN penyanyi dangdut yang terbabit dalam lagu Dangdut Lebaran.
BARISAN penyanyi dangdut yang terbabit dalam lagu Dangdut Lebaran.

Satu lagi lagu raya yang mencetuskan ‘mood’ untuk menyambut lebaran di hati pendengar adalah Dangdut Lebaran.

Dilancarkan pertengahan Ramadan lalu, Dangdut Lebaran yang menggabungkan 18 penyanyi dalam satu lagu ini dicipta komposer terkemuka, Pak Ngah.

Pertama kali diperdengarkan dengan lagu baru ini, sememangnya identiti lagu ciptaan Pak Ngah yang jelas kedengaran. Ia tidak banyak berbeza dengan lagu tradisi ciptaannya sebelum ini.

Namun begitu, ada keunikan yang ditampilkan dalam Dangdut Lebaran apabila nada dangdut disuntik bagi diserasikan dengan judul dan konsep lagunya.

Bagi Pak Ngah sendiri, ini adalah kali pertama dia menghasilkan lagu genre dangdut.

“Saya belum pernah menghasilkan lagu dangdut dan Dangdut Lebaran adalah percubaan pertama saya.

“Untuk menghasilkan lagu yang ada elemen dangdut, saya lakukan sedikit penyelidikan dan alatan muzik yang sesuai dengan genre ini,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Bintang Dangdut Malaysia Ifa Raziah, menyatukan 18 penyanyi dangdut dalam satu lagu adalah cabaran namun berjaya dilakukannya.

“Tidak mudah sebenarnya untuk menyatukan mereka dalam satu lagu memandangkan masing-masing ada komitmen.

“Namun, alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Daripada 20 anggota, 18 daripada kami berjaya disatukan. Dua lagi anggota yang tidak dapat bersama kami ialah Amelina dan Mas Idayu kerana kedua-duanya mempunyai komitmen lain,” katanya.

Menurut Ifa, dia juga berbesar hati kerana komposer legenda seperti Pak Ngah memberi peluang kepadanya dan rakan untuk menyanyikan lagu ciptaannya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Pak Ngah kerana percaya dan tidak lokek untuk memberikan peluang kepada kami semua dalam menghasilkan lagu raya ini,” katanya.

Ifa turut memaklumkan, lagu Dangdut Lebaran juga dihasilkan bagi menjana dana untuk tabung persatuan sendiri.

“Setiap daripada anggota persatuan boleh membuat persembahan dengan lagu ini dan sekiranya mereka ingin menyumbang kepada tabung persatuan, itu terserah kepada mereka sendiri.

“Apa yang penting, salah satu objektif utama saya iaitu untuk menyatukan semua bintang dangdut dalam satu persatuan sudah tercapai,” katanya.

Harapannya, semoga Dangdut Lebaran menjadi satu lagi lagu tema yang akan didendangkan setiap kali menjelang Aidilfitri dan sentiasa menjadi lagu malar hijau sepanjang zaman.

INFO:

Lagu: Dangdut Lebaran

Penyanyi: Ifa Raziah, Sheeda, Ani Maiyuni, Linda Eva, Intan Maya, Anis Aneesa, Haiza, Ieda Moin, Papa J, Salwa Abd Rahman, Haida, Tushee, Linda Mamat, Ayati Tasrip, Fitri Hiswadi, Rojer Rozaidy, Elda Susanti & Zizi Kirana

Pencipta: Pak Ngah

Penulis Lirik: Siso

Terbitan/Edaran: Sony Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 5:03 AM