ZENDAYA pilih jadi ‘vegetarian’ kerana tak suka lihat haiwan disembelih.
ZENDAYA pilih jadi ‘vegetarian’ kerana tak suka lihat haiwan disembelih.
Norhayati Nordin


WALAUPUN baharu berusia 23 tahun, pembabitan pelakon remaja Zendaya Maree Stoermer Coleman di arena hiburan Hollywood sudah mencecah sedekad. Bakat gadis cantik ini mula diketengahkan sebagai penari kanak-kanak dan model cilik di pentas peragaan.

Namun, langkah Zendaya dalam bidang lakonan bermula pada 2010 apabila dia mendapat watak utama sebagai Rocky Blue dalam sitkom Shake It Up di Disney Channel.

Sitkom popular kesukaan ramai itu diterbitkan hingga 2013 yang secara tidak langsung membantu mengukuhkan nama dan bakat Zendaya.

Kini Zendaya adalah Michelle Jones atau MJ yang menjadi cinta hati adiwira labah-labah dalam filem Spider-Man: Far From Home.

Berganding dengan Tom Holland yang seusianya, keserasian dua figura muda Hollywood ini sangat menarik perhatian.

Ditambah lagi, hubungan akrab mereka dibuktikan dengan saling berbalas komen di Instagram masing-masing yang menjadi tarikan peminat.

Menariknya mengenai diri Zendaya adalah dia seorang ‘vegetarian’ kerana tidak suka melihat haiwan disembelih.

“Saya nekad mengubah pengambilan makanan harian dengan tidak makan daging serta beralih menjadi ‘vegetarian’,” katanya.

Menurut Zendaya, biarpun pada mula sukar untuk melupakan hidangan burger kesukaannya, dia sudah memilih mahu menjadi vegetarian.

LAKONAN dalam Spider-Man: Far From Home.
LAKONAN dalam Spider-Man: Far From Home.

“Saya cekalkan hati menolak semua hidangan daging dan menukarnya kepada ikan dan sayur-sayuran. Hanya beberapa hari, saya sudah serasi.

“Sekarang, saya gembira menjalani kehidupan yang sihat dengan rutin pemakanan harian yang dijaga dan lebih banyak makan sayur. Saya tidak kesal dengan keputusan dibuat kerana ia pilihan tepat. Saya juga gembira dapat kekalkan berat badan.

“Saya tidak terlalu kurus dan berat badan ini normal dengan ketinggian diri,” katanya.

Zendaya juga berharap penonton menerima baik lakonannya.

Katanya, watak MJ dilakonkan bukan Mary Jane Watson seperti pernah dibawa Kirsten Dunst dalam filem Spider-Man terdahulu.

“Kini, wanita yang menjadi kekasih hati Peter Parker pada 2019 ialah Michelle Jones dan bukan lagi Mary Jane,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:00 AM