SPIDER-MAN: No Way Home filem Spider terbaik pernah dihasilkan. FOTO Sony Pictures
SPIDER-MAN: No Way Home filem Spider terbaik pernah dihasilkan. FOTO Sony Pictures
Syafil Syazwan Jefri

Filem Spider-Man terbaik yang pernah saya tonton!

Sepanjang 148 minit saya berada di dalam pawagam, tempoh itu dirasakan sangat singkat dan pantas tanpa saya sedar bahawa ia sebenarnya mencecah lebih dua jam.

Secara ringkasnya, Spider-Man: No Way Home mengisahkan mengenai Peter Parker yang kini hidup sebagai individu yang popular.

Mana tidaknya, identiti diri sebagai Spider-Man sudah diketahui oleh orang awam dan bukan lagi menjadi rahsia. Namun, pada masa sama walaupun dipuja, dia juga menjadi mangsa 'stereotaip' beberapa pihak.

Ketika dia, kekasihnya, MJ dan sahabat karibnya, Ned ditolak daripada melanjutkan pelajaran ke Massachusetts Institute of Technology (MIT) kerana beberapa insiden pertarungan serta kekerasan membabitkannya, Peter berasa bahawa dia bertanggungjawab di atas kegagalan itu.

Dia seterusnya meminta bantuan Doctor Strange untuk menggunakan jampi yang boleh membuat semua orang lupa akan kewujudannya. Namun, proses jampi itu terganggu apabila Peter beberapa kali bertukar fikiran.

Kerana gagal, Peter kemudiannya mencari pegawai MIT yang bertanggungjawab menolak permohonan mereka bertiga dan cuba merayu.

Namun, pada masa sama, dia diserang oleh Otto Octavius yang kemudiannya gagal menggunakan sesungutnya kerana dikawal oleh Peter menerusi teknologi nano yang ada di sutnya.

ANTARA babak dalam filem berkenaan.
ANTARA babak dalam filem berkenaan.

Bukan saja Otto, beberapa penjahat lain turut muncul iaitu Norman Osborn, Curt Connors, Max Dillon dan Flint Marko.

Cuba sedaya upaya untuk menyembuhkan kesemua mereka, Peter kemudiannya diduga dengan ujian besar apabila dia diserang oleh salah seorang penjahat itu.

Pada masa sama, dia juga merungkai bagaimana 'multiverse' terbuka sekali gus membawa masuk pelbagai karakter lain serta dua lagi Peter Parker dari alam yang berbeza.

Dari segi jalan cerita, ia tidak memerlukan penonton untuk menonton kesemua filem Spider-Man bagi memahami jalan cerita yang dipaparkan.

Walaupun anda bukan pengikut setia filem Spider-Man terdahulu, tak menjadi masalah kerana perjalanan cerita dan perkembangan plotnya begitu jelas.

Namun, sekiranya anda pernah menonton filem Spider-Man lakonan Tobey Maguire dan Andrew Garfield, tentunya anda akan lebih dapat menjiwai babak-babak dalam Spider-Man: No Way Home.

Lengkap dengan aksi yang tak perlu ditunggu lama, Spider-Man: No Way Home turut menyajikan babak drama yang membuai emosi.

Tak pernah saya menitiskan air mata saat menonton Spider-Man, tapi kali ini, saya tak dapat mengawal emosi lebih-lebih lagi dalam babak membabitkan Peter versi Garfield menyelamatkan MJ.

Tidak hairanlah kutipan hari pertama di Malaysia saja berjaya mencecah jutaan ringgit dan kini, menempatkan Spider-Man: No Way Home sebagai filem nombor satu dalam carta pawagam tempatan.

FILEM: Spider-Man: No Way Home

PENGARAH: Jon Watts

PENULIS SKRIP: Chris McKenna, Erik Sommers

PELAKON: Tom Holland, Zendaya, Benedict Cumberbatch, Jacob Batalon, Jon Favreau, Jamie Foxx, Willem Dafoe, Alfred Molina, Benedict Wong, Tony Revolori, Marisa Tomei, Andrew Garfield, Tobey Maguire

TERBITAN: Columbia Pictures, Marvel Studios, Pascal Pictures

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 6:21 AM