UJANG harap lebih ramai pemuzik tanah air dapat pengiktirafan untuk hasilkan ‘signature series’. FOTO: Nik Hariff Hassan
UJANG harap lebih ramai pemuzik tanah air dapat pengiktirafan untuk hasilkan ‘signature series’. FOTO: Nik Hariff Hassan
Syanty Octavia Amry


TERPILIH sebagai pemain dram pertama tanah air memiliki kayu pemukul dram atau ‘drumstick’ sendiri, Ujang yang juga pemain dram Exists berharap ia menjadi pembakar semangat untuknya terus berkongsi ilmu permainan alat muzik itu.

Ujang yang juga antara pemain dram dihormati di Malaysia berkata, dia tidak menyangka jenama popular Promark memilihnya dalam penghasilan ‘signature series’ walaupun ramai lagi pemain dram hebat di negara ini.

Promark adalah jenama terkenal dunia dan menjadi pilihan ramai pemain dram legenda dan popular dunia antaranya Ian Paice (Deep Purple), Simon Philips (Toto) dan Mike Portnoy (bekas pemain dram Dream Theatre).

UJANG bersama Tung.
UJANG bersama Tung.

“Saya sangat terharu kerana akhirnya mempunyai ‘signature series’ sendiri. Ini pengiktirafan daripada Promark untuk pemuzik tempatan. Saya berharap selepas ini lebih ramai pemuzik tanah air mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada jenama hebat di dalam dan luar negara,” katanya.

Selain bersama Exists, Ujang juga antara pemain dram ‘laris’ sebagai pemuzik rakaman dan mengiringi persembahan penyanyi popular antaranya Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Datuk Zainal Abidin dan Amuk.

Kayu pemukul dram yang dijual pada harga RM79 itu turut memuatkan tandatangan istimewa Ujang. Ia mempunyai ciri khas daripada jenis ‘hickory’ dan pembuatannya perlu melalui beberapa proses pembikinan termasuk proses panggang bagi mendapatkan ketumpatan yang padat.

MEMPAMERKAN kemahiran bermain dram.
MEMPAMERKAN kemahiran bermain dram.

Kayu pemukul dram berkenaan hanya dihasilkan 144 pasang unit saja untuk fasa pertama dan jika permintaan tinggi ia akan dikeluarkan lagi.

Sementara itu, Pengurus Besar JS Music Distribution, Tung Kean Jin berkata, proses komunikasi dan pengurusan dilakukan selama setahun dan mengambil kira proses pemilihan reka bentuk, model, saiz serta pengesahan sehinggalah ia siap sepenuhnya dan sedia untuk diedarkan di Malaysia.

“Ia dihasilkan di kilang di Houston, Amerika Syarikat. Kami memilih menghasilkan ‘drumsticks’ dari jenis SA buat masa ini dan merancang menghasil dan mengedarkan jenis 7A pula,” katanya. Bagi yang ingin mendapatkannya, ia sudah mula di jual di di JS Music, Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:00 AM