SARIMAH bersama Tunku Nadzimuddin di majlis pelancaran Thrill by Sarimah Ibrahim di Bangsar, semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq
SARIMAH bersama Tunku Nadzimuddin di majlis pelancaran Thrill by Sarimah Ibrahim di Bangsar, semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ramlah Zainal


PELAKON dan pengacara terkenal Sarimah Ibrahim merancang untuk membuat rawatan kesuburan 'In Vitro Fertilization’ (IVF) jika masih gagal mendapatkan cahaya mata ketika ini.

Menurut Sarimah, 39, buat masa ini, doktor memberitahu dia dan suami, Tuanku Nadzimuddin Tuanku Mudzaffar, 46, tiada masalah untuk memiliki anak secara normal.

“Rumah tangga kami bahagia walaupun ada ‘turun dan naik’ sepanjang tempoh tiga tahun berkahwin.

“Kini, sampai masanya, saya memperlahankan aktiviti seni untuk memberi fokus pada rumah tangga sekarang. Terus terang, saya turut berasa tekanan setiap kali ditanya soal anak.

“Maklumlah, saya akan mencecah usia 40 tahun dan kami suami isteri masih berusaha untuk mendapatkan cahaya mata dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Thrill yang berlangsung di Bangsar, semalam.

Mengenai rawatan IVF pula, Sarimah berkata, dia ada mendapat tips daripada penyanyi popular, Datuk Siti Nurhaliza mengenai rawatan kesuburan itu.

“Usia saya dan Siti (Nurhaliza) tidak jauh beza dan dia ada berkongsi

mengenai rawatan itu.

“Saya sangat gembira bila dapat tahu Siti mendapat cahaya mata selepas 11 tahun, sedangkan saya baru berusaha dua hingga tiga tahun untuk dapat anak.

“Saya masih ingat pesanan Siti supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah S.W.T kerana setiap yang berlaku ada sebabnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia juga gementar untuk membuat rawatan IVF itu.

“Namun, saya tidak boleh putus asa dan akan memanfaatkan teknologi terkini dalam usaha mendapatkan anak.

“Saya percaya, rawatan IVF pun belum tentu berjaya tetapi saya akan terus berusaha dan berdoa terutama pada Ramadan ini.

“Semoga peminat turut sama mendoakan kami segera mendapat cahaya mata,” katanya.

Sarimah dan Tunku Nadzimuddin diijabkabulkan pada 2 April 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 11:36 AM