Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Nina Iskandar tidak mahu menyalahkan pengguna laman sosial yang mengecam dirinya perampas dan perosak rumah tangga berikutan kontroversi yang timbul baru-baru ini.

Nina, 28, atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar menyifatkan sikap suka membaca tajuk tanpa membaca isi sesebuah artikel membuatkan mereka cepat dan mudah menjatuhkan hukum.

"Saya memang tidak boleh salahkan netizen. Sebab ada antara mereka yang cerdik, begitu juga sebaliknya. Bagi yang sebaliknya, mereka akan cepat menjatuhkan hukum.

"Mereka tidak mahu membaca isi keseluruhan cerita tapi baca tajuk terus buat andaian sendiri. Bagi saya ia salah. Sepatutnya dengar daripada kedua belah pihak.

"Paling penting, orang sekeliling yang kenal saya tahu saya bukan seperti apa yang digembar-gemburkan. Siapa yang tahu, tahu lah. Mereka juga tahu siapa yang menyebarkan fitnah ini," katanya.

Terdahulu, isu fitnah itu mula diperkatakan selepas satu portal hiburan menyiarkan kenyataan satu sumber yang mendakwa Nina menjadi punca perceraian seorang penolong pengarah dengan bekas isterinya.

Bagaimanapun, Nina menolak dakwaan mengenai hubungannya dengan lelaki itu dan menegaskan mereka hanya berkawan secara profesional.

Nina kemudian mengadakan sidang media memaklumkan beberapa surat notis tuntutan permohonan maaf yang sudah dihantar kepada tiga pihak membabitkan isu fitnah terhadapnya.

Nina yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem Sinar Ramadhan Untuk Amanda berkata, pihaknya bakal meneruskan saman terhadap seorang lagi individu yang didakwa menjadi dalang penyebaran berita tidak benar itu.

"Apa yang berlaku tidak terlalu mengganggu kerjaya tetapi ia mencemar nama baik saya dan keluarga. Isu ini membabitkan soal maruah. Apabila orang buat sesuatu yang buruk mengenai diri kita, ia akan beri kesan. Saya tidak melatah tetapi mendapat nasihat daripada peguam.

"Sekarang kita sudah selesaikan dengan dua pihak, cuma satu pihak lagi masih berjalan. Kita tunggu siapa individu itu dan kebenaran berpihak kepada siapa nanti," katanya.

Ditanya mengenai status dirinya, Nina yang berasal dari Brunei Darussalam mengakui sudah mempunyai teman istimewa.

"Saya 'single but not available'. Saya sudah ada yang istimewa. Buat masa sekarang belum boleh beritahu lagi. Tunggu masa sesuai saya akan kongsi," katanya ringkas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 1:36 PM