Amirul Haswendy Ashari


Berita sedih buat peminat dan pengikut tegar muzik Kpop! Selepas tujuh tahun bersama, kumpulan 4Minute dianggotai Jihyun, Gayoon, Jiyoon, Sohyun dan HyunA, dibubarkan.

Keputusan itu dibuat selepas kontrak mereka bersama agensi hiburan Cube Entertainment berakhir pada 14 Jun lalu.

Namun, HyunA mahu terus kekal bersama agensi dan kini dalam proses menyiapkan album baru yang dijadual dilancarkan pada musim panas nanti.

Cube Entertainment dalam kenyataannya pada 16 Jun lalu menyifatkan 4Minute meninggalkan banyak memori dan berjaya membentuk hubungan kuat sejak tujuh tahun lalu.

“Walaupun sedih sebab 4Minute bakal berakhir, kami berikan restu kepada mereka berempat untuk teruskan kerjaya seni masing-masing,” kata wakil agensi.

Kumpulan itu mula muncul dalam industri Kpop pada 15 Jun 2009 melalui album sulung, Hot Issue. Kemunculan EP itu memecah rekod sebagai antara kumpulan Kpop paling berpengaruh waktu itu dengan beberapa lagu mereka berjaya menduduki carta Billboard antarabangsa.

Sebagai meraikan kerjaya 4Minute selama ini, SELEBRITI senaraikan tujuh lagu paling berpengaruh dan mendapat tempat dalam kalangan peminat tempatan dan antarabangsa.

1. Volume Up (2012)

Vokal Jiyoon dan Gayoon paling menyerlah dalam lagu ini. Malah muzik popnya lebih ‘edgy’ tapi dengan suntikan melodi lebih lembut.

Volume Up juga menggunakan peralatan muzik unik dan berbeza lantas memberi sisi matang dalam muzik mereka.

Album ini berjaya menduduki tangga ketiga dalam carta Korea K-Pop Hot 100. Lagu futuristik yang penuh dinamik dalam album ini seperti Hate dan Crazy turut mendapat perhatian peminat.

2. HUH (2010)

Album ini dilancarkan setahun selepas kemunculan mereka. HUH, akronim kepada Hit Your Heart menjurus kepada muzik terawal 4Minute yang agak gelap dan konsep seksi.

Biarpun masih ada elemen ‘auto-tune’ bagi merendahkan kelemahan ‘pitching’, ia jauh lebih lebih baik daripada beberapa lagu lain dalam album.

Lagu ini tersenarai sebagai paling banyak dimuat turun dalam Carta Gaon Korea dan kekal sebagai lagu identiti 4Minute dek elemen bunyi elektronik yang sering digunakan dalam muzik mereka.

3. Hot Issue (2009)

Kurang setahun selepas Madonna melancarkan single bersama Justin Timberlake dan Timbaland bertajuk

4 Minutes, kumpulan itu terus ‘meletup’ dalam industri hiburan Kpop melalui lagu yang ceria dan seksi, Hot Issue.

Lagu pengenalan mereka ke dalam industri hiburan Kpop dunia itu dipenuhi dengan rentak urban dan siren yang disumbat masuk sebagai elemen dalam muzik tarian mereka.

Album ini juga menjadi asas pengenalan kekuatan dan identiti vokal 4Minute sebagai kumpulan wanita pop tarian hebat.

4. Hate (2015)

Selepas muncul dengan penuh gaya melalui lagu muzikal Crazy dan balada, Cold Rain, Hate boleh dianggap berada di liga tersendiri.

Hate penuh beremosi dan menjurus kepada rasa marah seorang wanita. Malangnya, bunyi muzik untuk lagu ini terlalu jauh daripada kelaziman yang biasa didengar peminat terutama di Korea.

Lagu ini gagal menduduki carta walaupun untuk Top 10 Carta Digital Korea Selatan.

5. Whatcha Doin’ Today? (2014)

Lagu ini boleh dianggap sebagai terakhir dalam lagu trilogi berbentuk soalan kumpulan itu selepas What’s Poppin’? dan What’s Your Name?

Whatcha Doin’ Today? dilihat sebagai lagu yang berjaya membuatkan peminat Kpop berpaling dek mesej lagu yang berevolusi.

Lagu-lagu trilogi ini kedengaran ‘berkuasa’, manis tapi masih seksi, diselit dengan elemen muzik tarian elekro dan bunyi-bunyian bertiup.

Lagu ini agak sensitif dek video muziknya mempunyai unsur dadah, seks dan fetish. Ia turut berdepan isu sosial kerana terlalu terbuka bercerita mengenai hal sensitif.

6. What’s Your Name? (2013)

Lagu ini penuh dengan gaya hip-hop dan kedengaran seperti kembali kepada asas 4Minute sebelum ini yang menjurus kepada tahun 2013 dan 2014 lalu.

Lagu ini juga mempunyai pelbagai kesan bunyi termasuk gelas pecah dan salakan anjing untuk mewujudkan suasana lebih ‘main-main’.

Bunyi loceng dan wisel pula menawarkan versi lagu mereka yang lebih berpersonaliti.

Lagu itu mencipta nama pada 2013 apabila berada di tangga pertama di Korea dan carta K-pop Hot 100.

7. Crazy (2015)

Tiada lagu K-pop yang dinyanyikan kumpulan wanita yang hampir dengan kesempurnaan pada 2015 kecuali nyanyian 4Minute ini.

Selepas bermain dengan muzik elektro-pop dan hip-hop, Crazy memberi nuansa baru kepada kerjaya 4Minute tahun lalu.

Lagu ini mempunyai sedikit elemen muzik Asia Barat dan cuba memberi kelainan kepada asas muzik mereka.

Malangnya, lagu ini tidak terlalu mendapat perhatian dek tiada perbezaan ketara kepada genre baru kumpulan itu. Pun begitu, ia menonjolkan kekuatan vokal Jiyoon dan HyunA, solo Sohyun dan Jihyun dan turut menonjolkan sisi bermelodi Gayoon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:12 AM