Ridzuan Abdul Rahman

Pasti ramai sedia maklum Tiada Tajuk adalah kesinambungan telefilem Rock Sangkut yang dihasilkan pada 2014.

Sambutan positif daripada peminat mencetuskan idea buat Mawi untuk membawanya ke layar lebar pula.

Seperti mana kisah dalam telefilem, begitulah juga yang ditampilkan dalam Tiada Tajuk kerana masih berkisar pengembaraan tiga pemuda kampung dalam mengejar impian untuk menjadi penyanyi.

Menerusi Tiada Tajuk, penulis lakon layarnya berjaya menghasilkan sebuah cerita yang padat dan seimbang dalam pelbagai aspek.

Mawi wajar dipuji kerana berjaya meneruskan kesinambungan cerita ini dengan baik. Kisahnya mudah difahami dan diagak tetapi kemampuan Mawi mengolah serta mencorakkan cerita berjaya membuat penonton ternanti-nanti apa kesudahannya.

Filem ini bergerak di atas latar yang sederhana dan memadai dengan babak di kampung dan bandar raya metropolitan untuk menampakkan jurang dua kehidupan berbeza yang dilalui oleh tiga sahabat karib itu.

Mawi dilihat lebih menekankan unsur dakwah yang cuba diterapkan menerusi dialog yang dilontarkan barisan pelakon.


Hazama, Along dan Joey berjaya menjiwai watak dengan cemerlang. Mereka saling membantu menyamaratakan karakter masing-masing agar tiada yang nampak lebih menonjol atau ‘makan’ yang lain.

Dapat dilihat penonton teruja untuk menonton tiga karakter utama ini dalam setiap babak.

Dialog Abadi, Rumi dan Kuswadi spontan dan sentiasa mengundang gelak ketawa penonton. Namun ia mempunyai isi sendiri terutama membabitkan kehidupan manusia dengan pencipta.

Inilah pendekatan dakwah yang diterapkan Mawi secara tidak langsung. Persoalan hidup, mati dan hari kiamat dimasukkan dalam cerita ini untuk membangkitkan kesedaran masyarakat.

Juga ada unsur-unsur sinis terhadap kepincangan yang berlaku dalam dunia seni di mana mereka yang termakan cili pasti akan terasa pedasnya.

Apa pun, Tiada Tajuk boleh dikatakan filem yang wajar ditonton kerana menghiburkan dan mampu memuaskan hati anda.

TIADA TAJUK

• ARAHAN: Asmawi Ani (Mawi)

• PELAKON: Mawi, Joey Daud, Hazama dan Along Cham

• GENRE: Komedi

• TAYANGAN: 4 April 2019

• ULASAN: Ridzuan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 8:02 AM