MAWI bersama Konvoi MWE Tabung Gaza Palestine 2014 dijadualkan singgah di lima lokasi pilihan.
MAWI bersama Konvoi MWE Tabung Gaza Palestine 2014 dijadualkan singgah di lima lokasi pilihan.
Oleh Shakilawati Abd Rahman

Prihatin dengan penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani terpanggil menganjurkan program MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014 pada 6 dan 7 Disember ini.

Mendapat sokongan beberapa penaja seperti Unequein, DPMM, Imtiyaz Travel, Johor Bikers, Najwa Production, Rimbunan Niaga dan TGJ Premium, program ini bertujuan mengumpul dana untuk pembangunan semula Gaza yang disalurkan kepada Aman Palestin.

Mawi yang pernah mencetuskan fenomena Tsumawi pada 2005 apabila menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketiga berkata, idea menganjurkan program ini timbul selepas membaca laporan akhbar mengenai Gaza teruk diserang tentera Israel.

Hatinya sayu mengenangkan nasib rakyat Palestin, lebih-lebih lagi kanak-kanak, wanita serta warga emas. Katanya, tidak sampai hati melihat keadaan mangsa yang meninggal dunia dan cedera parah. Paling menyedihkan, anak kecil tidak berdosa turut menjadi mangsa.

"Saya bincang perkara ini dengan Ekin dan kenalan yang kebetulan ahli Johor Bikers. Dari situ, tercetus idea untuk melaksanakan konvoi ini.

"Kami yakin motosikal berkuasa tinggi boleh menarik minat orang ramai menyertai program amal ini. Pelaksanaannya mendapat sokongan penuh Johor Bikers dan ia membabitkan 30 motosikal berkuasa tinggi dalam program ini," katanya.

Konvoi MWE Tabung Gaza Palestine 2014 dijadualkan singgah di lima lokasi pilihan, bermula di Tebrau, Pagoh, Mersing, Kota Tinggi dan berakhir di Pasir Gudang.

Selain Mawi, konvoi ini dimeriahkan dengan penyertaan Along Cham, Joey Daud, Rahim JALOR dan Daly Filsuf.

Kata Mawi, mereka akan berhenti dua jam di setiap lokasi. Di sana nanti akan berlangsung beberapa aktiviti bersama penduduk setempat, antaranya mereka akan dihiburkan dengan persembahannya bersama Daly.

"Joey Daud pula menjual lukisan yang dilukis sendiri dan sebahagian hasil jualan disalurkan terus kepada Aman Palestin.

"Kumpulan JALOR dianggotai Rahim, Along Cham dan Joey Daud pula akan menggeletek hati orang ramai dengan jenaka bersahaja.

"Saya berharap program ini mendapat sambutan dan mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke setiap lokasi yang ditetapkan. Mari sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada saudara kita di Palestin. Mudah-mudahan sumbangan kita sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya.

Mawi turut mensasarkan program ini mengumpul dana RM20,000 hingga RM40,000. Jika berjaya, ada perancangan mengadakan konvoi di negeri lain pula.

"Sebenarnya, program ini cuma sumbangan kecil. Walaupun hasil diperoleh nanti mungkin tidak sebesar program anjuran penganjur lain, diharap ia dapat membantu membangunkan Gaza.

"Saya ingin berterima kasih kepada penaja, Johor Bikers dan rakan artis yang sudi menjayakan program ini. Terima kasih juga buat warga kerja MW Entertainment yang sanggup bekerja keras dan bersemangat memastikan program ini berjaya dilaksanakan. Hanya Allah mampu membalas budi baik kalian.

"Semua kutipan akan diserahkan kepada wakil Aman Palastin pada majlis makan malam yang berlangsung di Selesa Hotel, Pasir Gudang pada 7 Disember ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:02 AM