TERAJU utama filem Tiada Tajuk (dari kiri) Joey, Hazama dan Along.
TERAJU utama filem Tiada Tajuk (dari kiri) Joey, Hazama dan Along.
Norhayati Nordin


WALAUPUN sedar bukan mudah menjadi pembikin filem berjaya, yang penting berani mencuba.

Itulah tekad pengarah dan penerbit baru, Asmawi Ani atau Mawi, 37, dalam meneruskan perjuangan karier seninya.

Tampil dengan filem sentuhan dan skrip tulisannya sendiri berjudul Tiada Tajuk yang kini ditayangkan pawagam di tanah air dan Brunei Darussalam, Mawi sangat bersyukur.

“Saya tidak sangka filem ini mampu bertahan untuk tayangan minggu ketiga di pawagam tanah air termasuk Brunei. Saya sangat berterima kasih kepada semua penonton yang menyokong filem ini walaupun bergenre Islamik. Maklum balas diberikan amat baik.

ANTARA aksi menarik dalam filem Tiada Tajuk.
ANTARA aksi menarik dalam filem Tiada Tajuk.

“Rata-rata penonton yang berkongsi komen terhadap filem ini menerima mesej disampaikan iaitu berkisar realiti kehidupan manusia. Secara tidak langsung, teguran yang cuba disampaikan menerusi filem ini nampaknya berjaya diterima positif penonton,” katanya.

Mengulas komen positif itu, Mawi berkata, penonton dapat terima kerana ia kisah masyarakat, realiti kehidupan dan paling utama bercerita mengenai hati manusia.

“Apa yang saya muatkan dalam filem Tiada Tajuk ini adalah kisah sebenar manusia. Ternyata, bukan mudah untuk menjaga ‘hati’. Urusan penjagaan hati ini milik Allah SWT. Justeru, sebagai manusia biasa seharusnya banyak berdoa dan ikhlas terhadap apa yang dilakukan,” katanya.

Menurut penyanyi yang pernah digelar ‘Raja SMS’ ini, kebanyakan manusia lebih suka menilai daripada aspek luaran berbanding sudut pandang dalaman.

ANTARA adegan Along dalam filem Tiada Tajuk.
ANTARA adegan Along dalam filem Tiada Tajuk.

Ditanya mengenai kutipan filem itu, Mawi berkata, dia enggan memikirkan perkara itu selagi Tiada Tajuk masih ditayangkan.

“Sekarang, saya masih giat mempromosikannya dengan mengadakan aktiviti seperti menonton bersama peminat bertuah di pawagam terpilih.

“Begitu juga aktiviti menonton bersama anak yatim. Alhamdulillah usaha promosi sebegini juga membantu publisiti filem Tiada Tajuk,” katanya.

Terdahulu, Mawi dan Along Cham hadir menonton bersama 100 orang peminat mereka di pawagam di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Selain Along Cham, Tiada Tajuk turut dibintangi Hazama sebagai Abadi, Along (Kuswadi) dan Joey Daud (Rumi) yang juga kesinambungan kisah daripada telefilem Rock Sangkut pada 2014.

ELEMEN komedi mencuit hati penonton.
ELEMEN komedi mencuit hati penonton.

Karya P Ramlee jadi inspirasi

Gelombang sokongan padu penonton terhadap Tiada Tajuk sejak tayangan pada minggu kedua ternyata menyuntik semangat Mawi untuk terus berkarya.

Selesa memilih elemen komedi dimuatkan dalam karya filemnya, Mawi berkata, dalam kehidupan ini ada rencah yang pelbagai.

“Kadang-kadang kita dalam ‘mood’ gembira, sedih, lucu dan tertekan. Namun, elemen lucu atau jenaka sangat penting untuk mengimbangi emosi diri.

“Ini antara rencah yang dapat saya tonton dalam karya filem dihasilkan seniman tersohor negara iaitu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ‘malar segar’ hingga kini.

“Penontonnya tidak kira peringkat umur dan lapisan masyarakat sangat sukakan filem P Ramlee kerana kandungan jalan cerita dihasilkan,” katanya.

Penyanyi lagu Aduh Saliha dan pelakon filem Magika ini berkata, karya P Ramlee sememangnya menjadi inspirasi buat dirinya.

MAWI giat mempromosikan filemnya dan turut mengadakan aktiviti seperti menonton bersama peminat bertuah di pawagam terpilih.
MAWI giat mempromosikan filemnya dan turut mengadakan aktiviti seperti menonton bersama peminat bertuah di pawagam terpilih.

“Saya tahu kemampuan diri tidak akan sehebat P Ramlee, tetapi karya ditinggalkan Allahyarham menjadi pencetus semangat kepada saya. Saya melihat indahnya filem P Ramlee itu terdapat pada garapan jalan cerita dimuatkan lebih menjurus pada mencuit hati dan sikap masyarakat,” katanya.

Mawi berkata, menerusi percubaannya dalam Tiada Tajuk, dia pasti terus berusaha menghasilkan karya mengandungi mesej untuk tontonan masyarakat dalam filem arahannya akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:00 AM