SYANIE dan Along Cham bakal berlakon filem arahan Mawi.
SYANIE dan Along Cham bakal berlakon filem arahan Mawi.
Ridzuan Abdul Rahman


FILEM sulung arahan dan terbitan Mawi iaitu Tiada Tajuk berjaya balik modal dan itu menguatkan tekad dirinya untuk menghasilkan filem kedua tahun ini.

Mawi, 40, berpuas hati dengan kutipan yang diraih filem itu yang dianggap menepati sasaran awal.

Dia kini bersiap sedia untuk mengarahkan filem kedua hasil idea dan skripnya sendiri berjudul Hantu Kuat Ketawa.

Filem di bawah produksi Mawi World Entertainment itu menggandingkan pelakon Saiful Apek, Syanie, Along Cham, Zarina Anjoulie dan ramai lagi.

"Kalau ikutkan jadual, filem ini mula menjalani penggambaran pada 16 Januari lalu.

"Tapi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami terpaksa tunda pada 27 Februari depan.

"Insya-Allah, kami semua bersemangat, tapi kalau PKP disambung lagi, kami akan tunda pada Mac pula," katanya.

Menurutnya, semua pelakon sudah menjalani sesi bacaan skrip dan tidak sabar untuk turun ke lokasi.

"Saya sudah duduk dengan semua pelakon utama dan pembantu. Semuanya setuju dengan apa yang perlu dibuat untuk penggambaran.

"Masing-masing pun sudah buat persediaan. Harapnya PKP cepat habis dan kami dapat mulakan penggambaran.

"Bercakap mengenai cabaran, saya sebenarnya agak gementar nak gandingkan semula Saiful Apek dan Syanie seperti zaman kegemilangan mereka," katanya.

Mawi berkata, dia menyedari kedua-dua pelakon itu mempunyai ramai peminat yang tertunggu-tunggu gandingan mereka yang terbaharu.

"Saya pilih mereka kerana saya dulu asalnya pengikut dan peminat filem mereka juga.

BERSAMA Saiful Apek.
BERSAMA Saiful Apek.

"Rasanya sekarang kena gandingkan mereka semula dan ia masa sesuai. Cuma cabarannya, saya nak kena bagi nampakkan kelainan berbanding dulu.

"Seorang lagi ialah Zarina Anjoulie. Dia pun lama tak berlakon dan saya macam tak menjangka apabila ditawarkan dia setuju," katanya.

Menurutnya, Zarina pula akan digandingkan dengan Along Cham.

"Dia menyukai watak yang diberikan dan tiada masalah untuk bentuk keserasian dengan Along.

"Pemilihan Anju dan barisan pelakon dibuat menerusi perbincangan dengan Astro," katanya.

Hantu Kuat Ketawa yang bergenre komedi seram akan disiarkan menerusi Astro First dan dijangka ditayangkan pada Jun atau Julai tahun ini.

"Saya pilih komedi kerana sekarang ramai yang tengah tertekan disebabkan pandemik Covid-19. Jadi, saya buat cerita yang ringan bagi peminat bergembira," katanya.

Filem itu mengisahkan empat 'scammer' yang dikehendaki polis melarikan diri dalam hutan.

Ketika dalam hutan mereka diganggu Hantu Kuat Ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:20 AM