Oleh Shakilawati Abd Rahman


Anugerah MeleTOP ERA 2015 (AME2015) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini, mulai jam 9, dijangka melakar satu lagi sejarah cukup membanggakan buat Astro.

Ini terbukti apabila kehangatan penganjuran acara berprestij ini sudah dirasai lebih sebulan lalu bahkan jumlah peratusan undian peminat dalam fasa pertama yang berakhir pada 11 Januari lalu melonjak berbanding tahun lepas.

Keterujaan itu turut dirasai hos AME2015, Nabil dan Neelofa apabila masing-masing tidak sabar mengemudi acara dinanti ramai itu di samping Datuk AC Mizal, Johan serta Zizan Razak serta kad jemputan khas yang mula dikeluarkan dengan kreativiti yang cukup unik.

Selebriti atau artis yang akan menghadiri AME2015 perlu melakukan pengesahan kehadiran secara selfie. Ia mungkin merupakan kali pertama di Malaysia selepas kejayaan HLIVE sebelum ini.

Nabil ketika ditemui menjelaskan, persiapan rapi sudah dilakukan demi memastikan acara berjalan lancar sekali gus mening­galkan memori indah buat penggiat seni yang diraikan nanti.

Lebih istimewa lagi katanya, penganjuran kali ini menyaksikan artis paling meletup pada masa kini berganding dengan ramai lagenda hebat arena hiburan tanah air.

“Bertepatan dengan tema Yang Hit, Yang Legend, kita dapat lihat kehadiran ramai artis legenda pujaan ramai. Bukan saja peminat yang akan teruja, kami artis generasi baru pun sama apabila dapat berhimpun dengan penyanyi serta pelakon otai yang menjadi pujaan ramai.

“Dalam acara berprestij seperti inilah kita dapat berjumpa dan merapatkan hubungan sekali gus meraikan mereka yang pernah merancakkan dunia seni tanah air satu ketika dulu.

“Bagi saya pemilihan tema untuk penganjuran AME kali kedua ini sangat sesuai dan pastinya bermakna buat kami penggiat seni,” katanya.

Bagi Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad, penganjuran AME2015 dilihat lebih gah dan meriah berbanding tahun lalu. Dari pering­kat awal perancangan lagi, kehangatan acara itu sudah dapat dirasakan apabila ada banyak pembaharuan disuntik malah promosinya juga lebih gempak.

Ia jelas apabila seminggu sebelum malam anugerah, AME2015 Mini Fest buat pertama kalinya dianjurkan dan menerima lebih dari 10,000 pengunjung. Ia memberi impak besar kepada jenama Meletop dan Astro sendiri.

“Apa yang pasti, kali ini ada lebih banyak kerja di mana hos perlu menjayakan rakaman bagi tujuan promosi. Idea yang dibentangkan pun gempak dan unik.

“Secara peribadi, saya melihat ini sebagai perkembangan cukup membanggakan dan saya yakin AME2015 pasti lebih hebat.

“Dengan adanya pertambahan empat kategori baru iaitu Drama TV MeleTOP, Hos TV MeleTOP, Artis Lawak MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 katagori, membuktikan AME semakin kukuh dan gah berdiri,” katanya.

Menggayakan sut rekaan pereka fesyen terkenal, Fairuz Ramdan, Nabil akui sukar untuk meramalkan pemenang malam ini memandangkan seratus peratus keputusan bergantung kepada undian peminat.

“Memang susah untuk diramal kerana setiap calon bagi setiap kategori ada kekuatan tersendiri. Lagipun peminat diberi kuasa mutlak menentukan siapa paling layak bergelar pemenang melalui undian SMS secara ‘online’ ataupun menerusi laman website AME sendiri,” katanya.

Sementara itu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor berkata, jika dibandingkan penganjuran terdahulu, kali ini dia mempu­nyai lebih masa untuk melakukan persediaan.

Katanya, bukan hanya dia dan Nabil akan mengendalikan malam kemuncak AME2015 sebaliknya mereka turut ditemani tiga hos terkenal.

“Kali ini ada sesi bacaan skrip dan dua kali raptai penuh. Daripada pemerhatian, saya menjang­kakan AME2015 lebih besar dan tidak mustahil jadi penanda aras baru buat Astro.

“Insha Allah malam ini akan berjalan lancar seperti dirancang malah kehadiran Datuk AC dan Jozan akan memeriahkan lagi suasana,” katanya.

Tambah pelakon dan pengacara jelita ini, dia berharap peyampaiannya malam ini meninggalkan kesan positif di hati penonton sekali gus melenyapkan kontroversi yang melanda dirinya dalam AME2014.

“Saya mahu jadi lebih bagus dari tahun lepas. Ketika itu orang ramai lebih memperkatakan pakaian saya berbanding prestasi saya sebagai pengacara.

“Insha Allah malam ini baju rekaan Fiziwoo bersesuaian de­ngan imej saya dan tidak me­ngundang kontroversi lagi. Saya juga lebih terbuka menyabut cabaran yang bakal diketengahkan penganjur pada malam ini. Nak tahu apakah kejutan dan kelainan itu, kenalah tonton,” katanya.

Neelofa meramal Ayda Jebat mungkin mendominasi kategori Artis Baru MeleTOP dan trofi Kumpulan Duo MeleTOP tidak mustahil menjadi milik Akim & Majestret.

Apa juga ramalan diberikan, AME2015 menjanjikan pentas buat persembahan terbaik dan cukup prestij dengan caranya tersendiri.

AME2015 boleh ditonton secara ekskulsif di Astro Ria (104), Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135), Astro Hitz (705) serta menerusi aplikasi Astro On The Go.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:06 AM