AZHARINA sebak ketika berdoa pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
AZHARINA sebak ketika berdoa pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Sudirman Mohd Tahir


“PADA usia ini, saya sudah memiliki segalanya. Apa yang penting sekarang, saya inginkan lebih ketenangan dari segi rohani,” kata penyanyi, Azharina Azhar sempena sambutan ulang tahun ke-34 yang diadakan semalam.

Azharina berkata, meskipun masih bergelar ibu tunggal, dia bersyukur apabila Allah SWT menggantikan dengan kebahagiaan lain iaitu dua anak angkat lelaki bernama Rahmat Azharin Aziz, 5, dan Redha Azharin Aziz, 2.

Malah, penghijrahannya dengan tampil bertudung baru-baru ini dianggap lembaran baru dalam hidupnya yang menjanjikan lebih kegembiraan.

“Kalau ditanya apa lagi saya mahukan pada usia ini, jujur cakap sudah tidak ada. Walaupun tiada suami, Allah Maha Adil dengan menggantikan kebahagiaan lain. Kehadiran dua anak, cukup bermakna untuk saya. Merekalah permata hati dan penyeri hidup saya.

“Harta dunia seperti tas tangan, kasut dan lain-lain itu sudah banyak dan saya bersyukur. Cuma sekarang, saya mahu terus berdoa ditetapkan hati supaya istiqamah dengan penghijrahan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Azharina yang ditemui pada majlis kejutan hari jadi anjuran kelab peminatnya, Azharina Angels berkata, dia bagaimanapun memasang impian untuk memiliki rumah di tepi laut.

“Setiap orang pasti ada impian. Memandangkan yang lain sudah dicapai, jadi saya mahu pula merealisasikan impian memiliki rumah di tepi laut sama ada di Bali, Indonesia atau Australia.

“Kalau Allah berikan rezeki, insya-Allah. Tidak salah jika kita ada impian itu. Tetapi, kita kena berusaha dengan menggunakan duit sendiri.

“Tambahan pula, dua anak saya pun sukakan laut,” katanya.

Berkongsi mengenai sambutan hari lahir itu, Azharina berkata, ia kejutan yang menjadi kerana tarikh lahir sebenar pada 11 Mac lalu.

Katanya, sejak awal lagi dia memberitahu pembantu peribadi tidak mahu sebarang majlis sambutan hari jadi diadakan kerana menghormati keadaan bapa angkat yang masih dalam keadaan koma.

“Lagi pula saya baru berhijrah, nanti apa pula kata orang. Namun, tidak menjangka dia bersama kelab peminat sepakat merancang juga majlis ini.

“Naik malu saya dibuatnya sebab datang dalam penampilan selekeh tanpa secalit bedak. Saya hanya diberitahu ada mesyuarat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 1:27 PM