Nabil (dua dari kanan) bersama tiga penerima sumbangan menunaikan umrah. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Nabil (dua dari kanan) bersama tiga penerima sumbangan menunaikan umrah. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON, pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad berkongsi rezeki apabila menghantar tiga peminat ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah.

Nabil, 35, menghantar peminat terbabit dengan tajaan sepenuhnya selepas individu bekerjasama dengannya sebelum ini, menarik diri.

“Sepatutnya, sesi umrah bersama peminat itu ditaja sebahagian individu terbabit. Namun, atas sebab-sebab tertentu, pihaknya menarik diri.

“Tidak mengapa, mungkin tidak ada rezeki bekerjasama. Jadi, saya ambil keputusan menaja mereka bertiga yang bertuah itu menunaikan umrah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabil, itu adalah tanda penghargaan buat peminat dan cara dia bersedekah.

“Saya diberikan rezeki oleh Allah dalam pelbagai bentuk. Inilah masanya saya menunjukkan rasa syukur dan pada masa sama memberikan penghargaan kepada peminat.

“Saya yakin, sepanjang 10 tahun kerjaya seni berlangsung kejayaan saya adalah berkat doa semua orang menyokong baik daripada keluarga, kawan-kawan dan peminat,” katanya.

Katanya lagi, dia berhasrat menjadikannya tajaan itu sebagai program tahunan jika diizinkan Tuhan.

“Kalau ada rezeki lebih tahun depan, mungkin saya akan hantar lebih ramai peminat. Mungkin lima, mungkin 10 atau kalau ada rezeki lebih, 30 orang.

“Insya-Allah, mereka akan bertolak lima hari sebelum Ramadan selama 10 hari,” katanya.

Nabil ditemui pada majlis doa selamat sempena 10 tahun karier seninya berlangsung di Shah Alam.

Ia turut diraikan beberapa rakan artisnya antaranya Lan Solo, Angah Raja Lawak, Acong Sweetchild dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 8:05 PM