SAPHIRA Indah bersama suaminya. FOTO media sosial
SAPHIRA Indah bersama suaminya. FOTO media sosial
Amirul Haswendy Ashari


PELAKON Indonesia yang memegang watak Uni dalam filem Eiffel... I’m In Love, Saphira Indah Julianti, 32, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, semalam.

Komposer dan penyanyi popular Indonesia, Melly Goeslow berkongsi berita sedih itu di laman sosial Instagram miliknya, awal pagi tadi.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Selamat menghadap Allah SWT Saphira Indah, kami akan mengenangmu Uni sayang,” tulis Melly.

Dalam pada itu, media Indonesia melaporkan, suami arwah, Rico Hidros Daeng berkata, Saphira yang hamil enam bulan sangat menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan di hospital hampir setiap bulan.

“Namun sejak lima hari lalu, dia sering mengeluh sesak nafas. Semalam, ketika di bilik tidur dia mengeluh sesak nafas yang terus dan minta dibawa ke hospital.

“Ajal setiap orang berbeza, ada yang tiba-tiba meninggal ketika sedang duduk. Kita tidak boleh jangka bila ia akan berlaku,” kata Rico.

Jenazah Saphira dikebumikan di Tanah Perkuburan Budi Darma, Tanjuk Priok, Jakarta Utara pada jam 10 pagi (waktu Indonesia Barat), hari ini.

Selain filem Eiffel I'm In Love, pelakon asal Bandung itu turut membintangi filem Virgin 3: Satu Malam Mengubah Segalanya (2011), Poconggg Juga Pocong (2011), Rumah Kosong (2014) dan Villa 603 (2015).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:57 PM