FARID dan Nadiya di UniMAP.
FARID dan Nadiya di UniMAP.
Oleh Wahi Aziz


Bagi meraikan kemunculan filem komedi romantik, Love, Supermoon yang mula menjengah pawagam Khamis lalu, sisipan Gen Y Harian Metro mengadakan aktiviti tayangan filem itu khusus buat pembaca.

Menariknya, acara tayangan yang bakal berlangsung di SACC Mall, Shah Alam pada jam 8 malam esok turut diserikan dengan kehadiran dua pelakon filem itu, Rita Rudaini dan Zain Hamid yang akan meluangkan masa selama tiga jam bersama peminat.

Mengulas penganjuran acara itu, penerbit Grand Brilliance (GB), Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, ia sebahagian daripada usaha promosi untuk menarik perhatian umum menonton filem itu.

“Pada hari sama kita turut menganjurkan acara serupa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Dalam sesi tayangan tertutup itu, bintang utama filem ini iaitu Farid Kamil dan Nadiya Nisaa akan turun padang bertemu pelajar.

“Persatuan pelajar universiti itu mula menjual tiket pada Rabu lalu dan sambutan amat memberangsangkan. Hari pertama saja 100 daripada 200 tiket berjaya dijual.

“Pada Ahad pula, kami akan ke Amanjaya Mall, Sungai Petani dan Aman Sentral, Alor Setar untuk beramah mesra dengan peminat bertuah di pawagam di sana. Apa yang pasti banyak hadiah eksklusif menanti peminat di setiap lokasi,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Harian Metro, Haslinda Mohamad Said berkata, acara itu bertujuan mendekati golongan pembaca muda dan menarik minat mereka membaca akhbar ini.

“Kami berterima kasih kepada GB kerana membenarkan Gen Y menayangkan Love, Supermoon dalam acara ini.

“Pada masa sama, kami mahu menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi digital HM iaitu majalah ZIP dan Tech Kingdom, yang kedua-duanya amat sesuai dengan golongan muda,” katanya.

Selain kemunculan artis, acara itu nanti menawarkan pelbagai aktiviti sampingan dan hadiah menarik untuk penonton muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 11:58 AM