Oleh Amirul Haswendy Ashari


Tidak seperti sebelum ini, pelakon dan pengarah, Farid Kamil, 33, dilihat lebih bersikap terbuka apabila berkongsi berita gembira membabitkan kehamilan kedua isterinya yang juga aktres popular, Diana Danielle.

Diana kini sarat mengandung tujuh bulan dan dijangka melahirkan anak kedua mereka pada November depan.

Ditemui baru-baru ini, berkongsi berita gembira itu bersama teman media dan peminat, Farid akui bersyukur ke hadrat Allah kerana berpeluang kedua untuk menikmati saat-saat indah bergelar bapa.

“Saya ada juga dengar, ibu mengandung buat kali kedua berhadapan komplikasi. Syukur perkara itu tidak berlaku kepada Diana. Harapnya perkara ini akan berpanjangan ketika proses melahirkan.

“Masa mengandungkan Muhamad juga begitu, cuma bezanya kali ini Diana kurang aktif berbanding dulu. Dia lebih banyak berehat dan hanya melakukan aktiviti ringan,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan lain, Farid akui berbanding kehamilan dulu, keadaan kandungan Diana kali ini lebih besar.

Farid juga tidak dapat berkongsi mengenai jantina anak bakal dilahirkan memandangkan sewaktu proses imbasan bagi sesi pemeriksaan kesihatan lalu, ia tidak dapat dilihat dengan jelas.

Sebagai bapa dan suami, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Cinta Kolesterol itu tidak kesah mengenai jantina anak, sebaliknya hanya mementingkan kesihatan cahaya mata bakal dilahirkan dan isteri.

“Sama ada anak perempuan atau lelaki, segalanya terserah kepada rezeki yang bakal dikuniakan. Dalam tempoh ini, saya lebih fokus pada persiapan buat Diana. Sedari dulu, saya memang jaga pemakanan dan nutrisi yang diambil isteri.

“Sebagai contoh, makanan yang mengandungi kandungan gula tinggi, saya tidak benarkan dia makan. Sebaliknya menggantikannya dengan jenis hidangan yang ada asid amino dan berprotein tinggi seperti ikan salmon yang bersesuaian untuk ibu mengandung,” katanya.

Ketika mengandungkan Muhammad yang kini mencecah usia dua tahun Julai lalu, Diana terpaksa mengelak mengambil nasi.

“Cuma kali ini saya terpaksa lepaskan juga Diana makan nasi sebab dia terlalu teringin. Saya juga memang tidak boleh makan kalau tak ada nasi.

“Susah juga sebab apa yang dia minta, semua kegemaran saya! Contohnya nak makan nasi berlaukkan kari, tidak mungkin saya tolak sebab saya pun suka juga. Cuma saya terpaksa ‘potong’ kepada jumlah sedikit,” katanya ketawa.

Farid akui tidak percayakan istilah pembawakan budak sehingga terbawa-bawa kepada keinginan menikmati pelbagai jenis makanan pelik dan berbahaya untuk kandungan, seperti yang sering digembar-gemburkan masyarakat kita sedari dulu.

Katanya, andai diikutkan sangat, ia boleh memudaratkan kesihatan ibu dan anak dalam kandungan.

“Saya jaga pengambilan makanan Diana sebab mahu kedua-dua mereka sihat. Kalau terlebih berat susah nanti. Takut juga kalau isteri mengalami masalah tinggi kalori dalam darah atau kencing manis. Ia boleh memberi kesan kepada ibu dan anak dalam kandungan.

“Oleh itu, saya tidak mahu terlalu ikutkan sangat kehendak Diana. Malah sejak jerebu melanda negara kita, saya nasihatkan isteri supaya menghabiskan masa duduk di rumah saja,” katanya.

Biarpun teruja dengan kehadiran anak kedua, Farid yang ditemui pada majlis tayangan khas filem Love, Supermoon di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara minggu lalu kelihatan penat.

Menolak dakwaan kurang sihat dek keadaan jerebu melanda, Farid akui penat kerana pergi ke gimnasium hampir setiap hari.

Katanya, dia perlu ke sana untuk mendapatkan tahap kecergasan yang bagus. Apatah lagi, sejak akhir-akhir ini dia berasa ‘longlai’ dan lemah.

“Saya seorang yang aktif, Bila tak aktif mesti terasa lemah semacam. Aktiviti berkuda masih lagi berjalan seperti biasa tetapi saya tetap kena pastikan tubuh cergas sebelum menunggang kuda. Bermakna, saya kena dua kali ganda usaha.

“Nampak kantung mata bengkak dan hitam sebab kurang oksigen. Jadi, sebab itulah sangat penting untuk saya terus memastikan tubuh sihat,” katanya.

Rancak berbual mengenai hal penjagaan kesihatan dan bakal menimang anak kedua, Farid turut berkongsi pengalamannya sepanjang membintangi filem Love, Supermoon dan bergandingan dengan Nadiya Nisa.

Menariknya, Nadiya akui di awal kemunculan dalam industri, dia menyimpan rasa minat mendalam terhadap Farid.

Tidak cepat melatah, Farid akui ketika kali pertama mendapat tawaran berlakon filem itu tiga tahun lalu dan diberitahu akan bergandingan dengan Nadiya, dia terus setuju.

Pertama sebab dia tidak pernah bekerja dengan Nadiya dan melihat aktres itu sebagai pendatang baru yang sangat berpotensi dan berbakat besar.

“Biarpun baru ketika itu, dia pelakon hebat. Corak dan kemahiran yang dibawanya sebagai pelakon sangat menarik perhatian, terutama apabila kami digandingkan bersama.

“Dari segi filem, saya melihat ia satu pendekatan yang lain, terutama dari segi genre. Dari strok dan struktur naratif serta watak yang ditonjolkan sangat segar dan tidak pernah saya tahu atau lihat sebelum ini.

“Terutama apabila ia mengangkat satu subjek yang sangat dekat dengan semua golongan masyarakat,” katanya.

Farid akui gaya genre komedi romantik yang diketengahkan dalam filem itu juga baru di Malaysia. Secara tidak langsung membawa kelainan kepada genre sama namun struktur naratif berbeza dan tidak dijangka.

Filem terbitan Grand Briliance Sdn Bhd, arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin itu akan ditayangkan pada 22 Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:02 AM