NATASHA mempunyai tiga anak.
NATASHA mempunyai tiga anak.
Ramlah Zainal


PELAKON Natasha Hudson, 37, mengesahkan dirinya sudah bercerai talak satu dengan suaminya yang juga ahli perniagaan, Noor Nashriq Sekanor, baru-baru ini.

Menurut Natasha, perkahwinan kali keempat yang dibina pada 7 Disember tahun lalu itu juga terpaksa berakhir dengan perceraian.

“Saya tidak mahu bercerita kisah silam mengenai perkahwinan tetapi ini adalah pengalaman paling memeritkan.

“Saya memutuskan untuk bercerai kerana kami tiada persefahaman lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya punca perceraian, kata Natasha, ia adalah ketentuan Allah SWT.

“Saya tidak dapat mengulas punca sebenar dan tarikh perceraian kami.

“Saya reda dengan perceraian ini kerana Allah sekali lagi menguji diri ini untuk menjadi insan yang lebih kuat dan bijak untuk membuat keputusan dalam hidup," katanya.

Apapun, kata Natasha, sampai masanya dia membahagiakan diri sendiri selain fokus pada kehidupan bersama tiga anaknya.

NATASHA reda dengan perceraian ini. FOTO: Instagram Natasha Hudson
NATASHA reda dengan perceraian ini. FOTO: Instagram Natasha Hudson

"Ini adalah titik permulaan baru untuk saya sayang diri sendiri dulu sebelum membahagiakan hidup orang lain,” katanya.

Sebelum ini, Natasha pernah berkahwin kali pertama dengan Mohd Faiz Mohd Raih pada 2006 tetapi hanya bertahan selama empat bulan.

Selepas bercerai dengan Mohd Faiz, Natasha berkahwin kali kedua dengan Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 dan bertahan selama dua tahun serta dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Menyusul selepas itu, Natasha berkahwin buat kali ketiga dengan Carleed Khaza atau Khalid Kamal pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:22 PM