Tyka anggap program itu beri kesan kepada karier seni. FOTO SCM
Tyka anggap program itu beri kesan kepada karier seni. FOTO SCM
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI yang muncul daripada program 3 Juara, Tyka Zatyka, 23, mengakui bahawa kemunculannya sebagai salah seorang wakil Malaysia dalam program realiti D’Academy Asia 4 (DAA4) benar-benar memberi kesan kepada karier seninya.

Menurutnya, keberadaannya di dalam program muzikal dangdut itu juga memberi manfaat kepada lagunya, Cinta Happy yang dilancarkan sejak tiga bulan lalu.

“Saya sendiri pun tak sangka jumlah tontonan akan meningkat sebegitu rupa kerana saya pun belum cukup dikenali.

“Sebelum saya menyertai DAA4, jumlah tontonan video lirik Cinta Happy cuma sekitar 100,000 tontonan saja.

“Namun, selepas saya secara rasmi menjadi peserta dalam program itu, jumlah tontonan di YouTube mencecah 500,000 dan terus meningkat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Tyka yang kini berada dalam kelompok 10 teratas dalam program itu, dia juga menerima respon positif daripada peminat Indonesia.

“Di Instagram saya, ada peminat Indonesia yang menulis komen dan mengatakan bahawa lagu ini sesuai jika dibawa ke Indonesia.

“Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada stesen radio Suria FM yang kerap memainkan lagu Cinta Happy sejak ia dilancarkan,” katanya.

Sehingga kini, jumlah tontonan video lirik Cinta Happy meningkat sehingga lebih 750,000 tontonan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 4:32 PM