VIRGOUN
VIRGOUN
Syafil Syazwan Jefri


Selepas kejayaan Surat Cinta Untuk Starla, Virgoun kembali ke Malaysia dengan single kedua berjudul Bukti.

Walaupun baru menembusi pasaran Malaysia, Bukti berjaya menawan hati jutaan peminat di negara kelahirannya, Indonesia.

Dari segi lagu, Virgoun yang juga komposer lagu ini masih mengekalkan rentak yang seakan-akan menjadi identitinya.

Selain itu, Virgoun juga masih bereksperimen dalam menghasilkan karyanya.

Kalau sebelum ini, dia memasukkan bunyi mesin taip dalam Surat Cinta Untuk Starla, Bukti pula melihat idea barunya dengan bunyi pen ‘marker’ dan kertas.

Stesen radio tempatan juga kerap memainkan lagu Bukti dan kena dengan selera peminat di sini.

Menariknya, single kedua ini adalah terjemahan hatinya buat isteri tercinta.

“Kalau single Surat Cinta Untuk Starla dihasilkan istimewa buat anak saya, single kedua ini pula khas untuk isteri.

“Bukan saja untuk mewakili luahan perasaan saya sebagai suami tetapi juga mewakili semua suami di dunia,” katanya.

Menurutnya, sebagai lelaki, kadangkala dia tidak dapat meluahkan perasaannya secara terus terang.

“Saya yakin, bukan saya saja begitu bahkan ramai lelaki tidak mampu berterus terang, lebih-lebih lagi berkaitan perasaan dan kasih sayang.

“Jadi, menerusi lagu ini, saya sampaikan rasa cinta saya kepada isteri dan dia orang pertama yang saya perdengarkan,” katanya.

Di YouTube, video lirik Bukti sudah mencecah jumlah tontonan 158 juta manakala video muziknya pula mencecah tiga juta tontonan sejak empat bulan lalu.

• LAGU: Bukti

• PENYANYI: Virgoun

• KOMPOSER & LIRIK: Virgoun

• LABEL: dr.m

• EDARAN: Tropic Jaya Entertainment Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 12:58 PM